KPDN Laksana Skim Harga Maksimum Musim Raya Puasa 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2026 bermula 14 hingga 28 Mac 2026 bagi memastikan harga barangan keperluan terkawal menjelang Aidilfitri.

Skim yang berlangsung selama 15 hari itu merangkumi tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Sebanyak 27 jenis barangan keperluan dikenal pasti sebagai barangan kawalan harga di bawah skim tersebut, melibatkan 24 barangan di Semenanjung Malaysia, 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.


Penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah serta input daripada agensi kerajaan dan pemain industri seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).


Antara barangan yang dikawal termasuk bawang, cili, daging lembu, daging kerbau, ikan, sayur-sayuran, kelapa, santan dan ayam, yang merupakan bahan utama dalam penyediaan hidangan perayaan.
Melalui pelaksanaan skim ini, KPDN bertujuan memastikan harga barangan keperluan kekal stabil dan pengguna tidak terbeban, selain memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan sepanjang tempoh perayaan.


Pengguna juga digalakkan melaporkan sebarang kesalahan atau ketidakpatuhan harga kepada pihak berkuasa bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan skim tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *