KUALA LUMPUR, 14 Mac — Sebuah filem aksi tempatan berjudul “Tarung: Unforgiven” bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.

Filem arahan Razaisyam Rashid ini merupakan terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw. Ia menjanjikan pengalaman aksi yang intens dengan gaya visual dan sinematografi yang memukau.
Barisan pelakon filem ini turut menghimpunkan nama-nama besar industri tanah air termasuk Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Meerqeen, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.
Pengumuman rasmi barisan pelakon telah diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut, sebuah video berdurasi satu minit turut dilancarkan sebagai pengenalan kepada filem berkenaan.
Menurut pengarah dan penulis skrip, Razaisyam Rashid, filem ini mengetengahkan kekuatan barisan pelakon ensemble yang membawa lapisan emosi berbeza, sekali gus menjadikan konflik dalam cerita lebih besar dan lebih manusiawi.
Filem ini mengisahkan seorang bekas juara silat yang dihantui dosa masa lalu selepas satu tragedi berlaku. Dia terpaksa kembali bertarung dalam gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari bahawa lawan yang menantinya adalah seseorang yang paling dekat dalam hidupnya.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan filem ini melalui platform digital Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw, serta menggunakan tanda pagar #TarungUnforgiven untuk mendapatkan maklumat terkini.



