Konsert TRILOGI Satukan Aepul Roza, Aweera & Fiq Halim Dalam Satu Pentas

SERDANG, 6 Mei – Tiga figura vokal rock tanah air, Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim bakal disatukan menerusi Konsert TRILOGI yang dijadual berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM Serdang.

Konsert berkenaan mengetengahkan konsep “Satu Pentas, Tiga Aura” dengan gabungan elemen rock, balada dan sentuhan kontemporari menerusi repertoir terbaik daripada ketiga-tiga penyanyi tersebut.

Penganjuran konsert itu dijangka menjadi pengalaman eksklusif buat peminat dengan kapasiti terhad sekitar 1,000 penonton sekali gus menawarkan suasana lebih dekat antara artis dan peminat.

Menurut penganjur, konsert tersebut turut menandakan kemunculan semula Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim di atas satu pentas selepas sekian lama, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Ketiga-tiga artis sebelum ini pernah mencipta keserasian menerusi kolaborasi lagu “Selamatkan Aku” pada tahun 2017 yang memperlihatkan kekuatan vokal dan karakter unik masing-masing.
Idea penganjuran Konsert TRILOGI tercetus susulan sambutan luar biasa terhadap persembahan mereka ketika Konsert 15 Tahun Drama Band pada Januari lalu.

25 Lagu Dalam Satu Malam
Konsert tersebut bakal mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu yang merangkumi karya solo setiap artis, kolaborasi istimewa serta repertoir popular daripada Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim.

Penonton dijangka dibawa menyelusuri perjalanan seni dan emosi bersama ketiga-tiga penyanyi dalam suasana yang penuh nostalgia dan dinamik.
Menurut pihak Aepul Roza Ventures Sdn Bhd, Konsert TRILOGI bukan sekadar hiburan, tetapi platform meraikan perjalanan seni, persahabatan dan evolusi muzik rock tempatan.

Tiket konsert ditawarkan dalam tiga kategori utama iaitu VIP berharga RM289 yang turut merangkumi sesi Meet & Greet eksklusif, diikuti kategori Normal pada harga RM189 serta kategori Standing berharga RM99.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *