KUALA LUMPUR – Skuvaths Malaysia sekali lagi membuktikan komitmen dalam usaha kemanusiaan apabila berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah ke-94 yang turut merangkumi program pendaftaran pendermaan organ dan pemeriksaan kesihatan.

Kempen yang berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 Mei di AEON Cheras Selatan itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum. Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Darah Negara susulan keperluan mendesak bekalan darah di peringkat nasional.


Menurut Presiden Kebangsaan Skuvaths Malaysia, Dr. R. Premakannan, kira-kira 350 penderma tampil secara sukarela untuk menyumbangkan darah atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Beliau berkata, program tersebut merupakan penganjuran kali ke-94 oleh Skuvaths Malaysia hasil sokongan berterusan daripada Pusat Darah Negara, pihak pengurusan AEON Cheras Selatan serta organisasi berkaitan pendermaan organ.
“Sepanjang kempen berlangsung, orang ramai memberikan kerjasama dan sokongan yang amat memberangsangkan,” katanya.
Menurut beliau, setiap satu beg darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa, sekali gus membantu mangsa kemalangan, pesakit yang menjalani pembedahan serta individu yang menghidap penyakit serius. Selain membantu meningkatkan bekalan darah negara, inisiatif seperti ini turut memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Bagi menjayakan program tersebut, lebih 30 petugas daripada Pusat Darah Negara bersama pegawai perubatan termasuk Dr. Nadira dan Dr. Mafusa terlibat secara langsung, selain dibantu 30 ahli jawatankuasa Skuvaths Malaysia.Turut hadir memberikan sokongan ialah pihak pengurusan AEON Cheras Selatan, pemimpin masyarakat, tokoh korporat, wakil rakyat serta lebih 500 pengunjung dan penderma sepanjang kempen berlangsung.
Skuvaths Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menganjurkan pelbagai program kemanusiaan dan kesedaran kesihatan bagi membantu masyarakat serta memenuhi keperluan kritikal bekalan darah negara.



