DARI VIRAL KE REALITI: ADAM NUQRIS UKIR BAB BAHARU DENGAN “ALASAN”Single Debut Yang Lahir Daripada Kejujuran Tentang Kisah Melepaskan,Terbitan SVLTAN Management & Sony Music Entertainment Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026 – Dalam era digital yang pantas melahirkan bakat baharu, hanya segelintir yang mampu melangkah keluar daripada ruang viral dan benar-benar membina identiti seni yang berkekalan. Adam Nuqris kini membuktikan bahawa perjalanan itu bukan sekadar kemungkinan, tetapi sedang berlaku.

Selepas mencuri perhatian lebih 68,000 pengikut di TikTok menerusi lagu-lagu cover yang penuh jiwa, Adam kini melangkah ke fasa paling signifikan dalam perjalanan seninya, pelancaran single debut berjudul “Alasan”.

Dikenali dengan tona vokal “serak-serak basah” yang penuh emosi serta kebolehan merentas genre daripada hip-hop hingga rock, Adam muncul sebagai antara wajah baharu yang paling menarik dalam landskap hiburan tempatan. Kehadirannya mula dirasai apabila nyanyian cover karya-karya Zynakal dan Yonnyboii mendapat perhatian meluas, termasuk pengiktirafan daripada artis asal itu sendiri.

Bukan Sekadar Viral Di sebalik sorotan digital, perjalanan Adam dibina daripada realiti kehidupan yang sederhana. Sebelum bergelar artis, beliau bekerja sebagai tukang gunting rambut dan mengusahakan gerai makanan di Kampung Baru.

Seorang pemuzik yang “self-taught” bermain gitar, Adam membentuk identitinya melalui sesi jamming santai bersama rakan-rakan serta pengalaman pentas kecil sejak usia muda. Malah, bakatnya sudah mula terserlah sejak zaman persekolahan apabila sering membuat persembahan spontan bersama rakan artis Dannqrack.“Saya tidak datang daripada jalan yang mudah, dan saya tidak pernah mahu berpura-pura seolah-olah saya datang daripada sesuatu yang sempurna.

Semua yang saya lalui daripada kerja biasa, kehidupan harian, sehinggalah jatuh bangun dalam mencari arah, semuanya membentuk siapa saya hari ini. Saya belajar bahawa muzik bukan sekadar tentang bunyi, tetapi tentang kejujuran dalam menceritakan apa yang kita rasa. ‘Alasan’ adalah refleksi paling jujur tentang fasa hidup saya sekarang,” jelasnya.Segalanya Bermula Dari Rakaman 30 Saat…Kisah “Alasan” bermula secara tidak dijangka, sebuah rakaman 30 saat yang dirakam secara spontan ketika sesi jamming di studio dan dimuat naik ke TikTok.

Respons yang diterima bukan sahaja mengejutkan, malah membuka jalan kepada sesuatu yang lebih besar dan bermakna.“Saya ingat itu hanya momen kecil pada mulanya. Tapi apabila saya lihat orang mula benar-benar ‘connect’ dengan klip itu, saya sedar mungkin ini bukan sekadar satu rakaman spontan. Mungkin ini adalah cerita yang perlu disempurnakan menjadi sesuatu yang lebih besar.

Dari situ, ‘Alasan’ mula berkembang menjadi sebuah karya penuh yang datang daripada emosi yang sangat jujur,” kongsi Adam.“Alasan” — Antara Luka, Kejujuran & Keberanian MelepaskanDicipta oleh Kidd Santhe, “Alasan” turut ditulis bersama oleh Adam sendiri, Saixse serta Altimet (Mambang). Hasil kolaborasi ini melahirkan sebuah karya hip-hop dengan sentuhan “trap” moden yang bukan sahaja segar dari segi bunyi, tetapi juga sarat dengan emosi yang mendalam.

Berbeza daripada naratif patah hati yang klise, “Alasan” mengangkat tema yang lebih introspektif, tentang keletihan emosi, kebenaran yang sukar diterima dan keberanian untuk memilih diri sendiri.“Lagu ini bukan sekadar tentang kesedihan. Ia tentang momen apabila kita akhirnya berhenti menafikan apa yang kita rasa, dan mula berani mengakui bahawa kita sudah sampai ke satu titik di mana kita perlu memilih diri sendiri.

Kadang-kadang kita bertahan terlalu lama dalam sesuatu yang sebenarnya sudah tidak lagi memberi ruang untuk kita berkembang. Dan pada saat itu, ‘pergi’ bukan bermaksud kalah, tetapi satu bentuk keberanian yang paling jujur,” tambah Adam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *