FC3 Club kembali ke Malaysia, jayakan perlawanan amal bertemu Selangor FC Legends

KELAB bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali ke Malaysia bagi menjayakan perlawanan amal ‘The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match’ menentang Selangor FC Legends di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 10 Oktober depan.

Perlawanan anjuran Orange Leisure Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pew Pew Resource itu bukan sahaja menghimpunkan bintang hiburan Hong Kong dan legenda bola sepak Selangor, malah sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.

Datuk Lee Chong Haw, Penasihat Selangor FC Legends (tiga dari kanan) Mr. Aladdin Mostafa, CO0 Selangor FC Legends ketika majlis menandatangani MOU bersama Hong Kong Celebrities Football Team FC3 Captain Locker Lam.

Majlis pelancaran program berkenaan disaksikan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama wakil Selangor FC Legends, Make-A-Wish Malaysia, Orange Leisure dan Pew Pew Resource.

Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bergambar kenangan bersama Hong Kong Celebrities Football Team FC3 Club.

FC3 Club mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia kerana kelab itu ditubuhkan ketika penggambaran drama Hong Kong Fearless di negara ini pada 2024 sebelum berkembang menjadi sebuah pasukan yang kini dianggotai lebih 20 pelakon, penyanyi dan penggiat industri hiburan.

Pasukan Selebriti Hong Kong bersama Selangor FC Legends bergambar kenangan bersama tetamu VIP.

Carlos Chan, Locker Lam, Adrian Chau, Tony Wu dan bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So menyifatkan Malaysia sebagai “tempat kelahiran” FC3 Club.

“Segalanya bermula di Malaysia. Kembali ke sini untuk beraksi semula memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami,” kata mereka pada sidang media di Kuala Lumpur.

Kelab itu diasaskan berteraskan falsafah Standing Strong at Thirty yang menekankan persahabatan, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat.

Antara pemain yang bakal beraksi ialah Kaho Hung, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng dan Kumar So, manakala Locker Lam mengetuai pasukan sebagai kapten.

Locker Lam berkata, cabaran terbesar pasukan adalah mengumpulkan semua pemain untuk menjalani latihan kerana masing-masing mempunyai jadual penggambaran yang padat.

“Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini menjadikan segala usaha amat berbaloi,” katanya.

Dalam pada itu, Kumar So berkata, minat mendalam Carlos Chan terhadap bola sepak menjadi antara faktor utama tertubuhnya FC3 Club.

Carlos Chan berharap perlawanan di Malaysia dapat menyajikan aksi yang menghiburkan kepada penyokong.

“Kami berharap dapat mempersembahkan satu perlawanan yang menarik dan kompetitif kepada semua peminat,” katanya sambil berseloroh tidak sabar menikmati durian Malaysia.

Tony Wu pula menyifatkan Malaysia sebagai lokasi yang mempunyai nilai sentimental buat seluruh pasukan, manakala Adrian Chau berharap dapat menikmati pengalaman beraksi di negara ini sambil bertemu lebih ramai peminat tempatan.

Jualan tiket akan dibuka pada 30 Julai bermula pukul 12 tengah hari dengan harga RM368, RM168, RM98 dan RM68 mengikut kategori, tidak termasuk caj tempahan. Tiket boleh dibeli menerusi platform Fantopia.io, Maoyan dan uutix.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *