PUTRAJAYA, 30 Julai – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalankan audit menyeluruh terhadap syarikat pemberi pinjam wang berlesen susulan dakwaan terdapat peminjam yang berdepan risiko kehilangan rumah dan aset akibat amalan pinjaman yang didakwa tidak mengikut semangat perlindungan pengguna.
Gesaan itu dibuat menerusi penyerahan memorandum kepada KPKT yang menghimpunkan beberapa aduan berkaitan dakwaan penyalahgunaan lesen pemberi pinjam wang berlesen, termasuk kadar faedah yang didakwa tinggi, dokumen pinjaman yang mengelirukan serta tindakan yang didakwa menekan peminjam sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash, berkata pihaknya tidak menuduh semua syarikat pemberi pinjam wang berlesen melakukan kesalahan, sebaliknya meminta KPKT menyiasat syarikat yang menerima aduan dan memastikan setiap pemegang lesen mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan.
“Kami bukan mahu menghukum semua syarikat pinjaman berlesen kerana masih ramai yang menjalankan perniagaan secara sah dan beretika. Namun, jika ada pihak yang didakwa menyalahgunakan lesen sehingga membebankan peminjam, tindakan tegas perlu diambil.
“KPKT mempunyai kuasa untuk menjalankan audit dan menyemak sama ada syarikat yang menerima aduan benar-benar mematuhi syarat lesen yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Lobi KPKT, Presint 4, di sini, hari ini.
Menurut Joseph, PKIPN setakat ini menerima sekurang-kurangnya lima aduan daripada individu yang mendakwa mengalami masalah hampir sama, namun ramai mangsa tidak berani tampil kerana bimbang menerima ugutan atau tindakan balas.
Beliau mendakwa terdapat peminjam yang terpaksa menjual rumah, kenderaan dan pelbagai aset bagi melangsaikan hutang, namun masih dibelenggu tuntutan yang terus meningkat.
“Dalam keadaan paling membimbangkan, ada mangsa yang berdepan risiko kehilangan rumah kerana gagal memenuhi tuntutan yang didakwa semakin bertambah walaupun bayaran telah dibuat selama bertahun-tahun,” katanya.
Joseph turut mendakwa terdapat syarikat yang mengenakan kadar faedah sehingga 10, 20 malah 50 peratus, selain meminta peminjam menandatangani dokumen kosong atau dokumen yang mencatatkan jumlah pinjaman lebih tinggi daripada wang sebenar diterima.
Beliau berkata PKIPN juga menerima aduan bahawa terdapat peminjam yang hanya memohon pinjaman dalam jumlah tertentu, namun diminta menandatangani dokumen bagi nilai yang jauh lebih tinggi sebelum wang diserahkan.
Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat mangsa Along yang dipaksa membuat bayaran harian sehingga RM500 dan terus diganggu sekiranya gagal membuat pembayaran.
Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fina mendakwa membuat pinjaman sebanyak RM100,000 pada 2015 bagi membantu perniagaannya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa diminta menandatangani dokumen perjanjian bernilai RM200,000 walaupun jumlah pinjaman sebenar hanyalah RM100,000.
“Saya ada bertanya mengapa jumlah dalam perjanjian RM200,000 sedangkan saya hanya meminjam RM100,000. Mereka memaklumkan ia hanya untuk tujuan rekod syarikat,” katanya.
Menurut Fina, beliau hanya menerima kira-kira RM92,000 selepas pelbagai potongan dibuat dan telah membayar kira-kira RM56,000 sebelum menghadapi kesukaran kewangan apabila ibunya menjalani pembedahan.
Beliau berkata, selepas gagal membayar ansuran selama dua bulan kerana perlu menjaga ibunya, beliau menerima surat tuntutan daripada peguam yang mengarahkannya menjelaskan RM162,000.
“Saya bukan sengaja tidak mahu membayar. Saya hanya memohon penangguhan selama dua bulan kerana ibu saya menjalani pembedahan, tetapi permohonan itu tidak mendapat maklum balas,” katanya.
Fina berkata beliau turut membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPKT, namun mendakwa tindakan undang-undang terhadapnya tetap diteruskan.
Beliau juga mendakwa tidak dapat menjual hartanah miliknya selepas mendapati aset tersebut dijadikan cagaran ketika urusan pinjaman dibuat.
“Saya percaya masih ramai mangsa lain yang mengalami perkara sama, tetapi mereka takut untuk tampil kerana bimbang menerima tekanan,” katanya.
Joseph berharap KPKT mengambil serius memorandum yang diserahkan dengan menjalankan audit menyeluruh terhadap syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang menerima aduan, selain meneliti setiap dakwaan yang dikemukakan.
Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat lesen atau undang-undang bagi memastikan hak peminjam terus dilindungi dan keyakinan masyarakat terhadap industri pemberi pinjam wang berlesen dapat dipelihara. – UTV



