Jangan lepaskan Malam Gala 100 Tahun TIKL, alumni dijemput ‘pulang’ meraikan legasi

KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Alumni Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (TIKL) daripada pelbagai generasi dijemput kembali ke ‘rumah’ yang pernah menjadi titik awal perjalanan mereka sempena Malam Gala 100 Tahun TIKL yang bakal berlangsung pada 19 September ini.

Bertemakan “Dari Legasi ke Transformasi”, majlis yang dijadualkan bermula jam 8 malam di UTM Residensi Kuala Lumpur itu bukan sekadar acara meraikan usia satu abad institusi berkenaan, malah menjadi medan menghimpunkan alumni, guru dan warga TIKL untuk mengimbau kembali sejarah serta menghargai jasa mereka yang membina legasi sekolah.

Pengerusi TIKL100, Haji Norhisham Haji Soin, berkata sambutan ulang tahun ke-100 TIKL merupakan detik istimewa yang wajar diraikan bersama kerana sekolah berkenaan telah melahirkan ribuan modal insan yang kini menyumbang dalam pelbagai bidang.

Katanya, alumni TIKL kini berada dalam pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, korporat, industri, akademik, perubatan dan sektor awam, malah ada yang mencipta nama di peringkat domestik dan global.

“Selepas 100 tahun, sudah tiba masanya kita sebagai alumni kembali ke sekolah dan mencurahkan bakti kepada institusi yang telah mendidik kita sehingga berjaya.

“Ini adalah tempat semuanya bermula. Kita mahu semua alumni daripada pelbagai generasi hadir bersama-sama untuk meraikan legasi yang telah dibina sejak satu abad lalu,” katanya dalam kenyataan media mengenai penganjuran Malam Gala 100 Tahun TIKL.

Menurutnya, AlumniTEK yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu sentiasa berusaha memastikan kewujudan persatuan itu memberi manfaat kepada pihak sekolah dan bekas pelajar.

Kira-kira 30 peratus tumpuan aktiviti AlumniTEK diberikan kepada sekolah, manakala 70 peratus lagi melibatkan aktiviti dalam kalangan alumni.

Antara program yang dilaksanakan ialah Program Shopping Raya yang diadakan setiap tahun bagi membantu pelajar dan kakitangan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

AlumniTEK turut menganjurkan karnival kerjaya dan sesi career talk dengan menjemput alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang, termasuk di institusi pengajian tinggi dan industri.

“Program seperti career talk ini adalah antara cara kita memberi hala tuju kepada pelajar. Kita panggil alumni daripada pelbagai bidang untuk berkongsi pengalaman dan memberi pendedahan kepada mereka tentang pilihan kerjaya serta peluang yang ada selepas tamat persekolahan.

“Networking alumni ini bukan berhenti di sekolah sahaja. Apabila pelajar masuk ke IPT, mereka masih boleh mendapatkan manfaat daripada jaringan alumni dan apabila memerlukan tempat untuk internship atau latihan praktikal, kita mempunyai alumni dalam industri yang boleh membantu,” katanya.

Dalam masa sama, AlumniTEK turut aktif menjaga kebajikan bekas pelajar menerusi program ziarah dan sumbangan kepada alumni yang ditimpa musibah atau mengalami masalah kesihatan.

Usaha itu digerakkan menerusi Dana Ihsan, yang menerima sumbangan hasil pelbagai aktiviti anjuran persatuan.

Aktiviti seperti futsal, golf, bowling dan fun run bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim sesama alumni, malah turut menjadi platform mengumpul sumbangan yang kemudiannya disalurkan kembali kepada mereka yang memerlukan.

“Kalau ada alumni yang tiba-tiba ditimpa musibah atau sakit, kita akan buat ziarah dan sumbangan untuk memberi semangat kepada mereka.

“Jadi, aktiviti alumni bukan sekadar untuk suka-suka, tetapi dalam masa sama kita dapat mengumpul dana untuk disalurkan kembali kepada kebajikan alumni,” katanya.

Dalam perkembangan sama, satu usaha turut digerakkan bagi menubuhkan Alumni Teknik Satu Malaysia yang bakal menghimpunkan alumni daripada sembilan sekolah teknik di seluruh negara.

Haji Norhisham berkata, cadangan itu dilihat sebagai langkah penting untuk memperluas jaringan serta mewujudkan platform kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan bekas pelajar sekolah teknik.

“Satu mesyuarat telah diadakan pada Julai lalu dan sekarang kami dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Kita berharap usaha ini dapat menggabungkan keahlian alumni daripada sembilan sekolah teknik seluruh Malaysia dan seterusnya memberi manfaat yang lebih besar kepada sekolah, pelajar serta alumni,” katanya.

Tidak hanya alumni, guru-guru yang pernah mencurahkan bakti di TIKL juga bakal diberi penghargaan pada malam berkenaan.

Menurut Haji Norhisham, terdapat alumni yang mengambil inisiatif menaja meja khas untuk guru-guru yang pernah mendidik mereka sebagai tanda terima kasih atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan.

Malah, wakil pelajar dan guru yang masih berkhidmat turut dirancang untuk dijemput bagi sama-sama menyaksikan detik bersejarah sambutan satu abad TIKL.

“Bagi kami, guru adalah sebahagian daripada legasi ini. Ada alumni yang menaja satu meja khas untuk guru-guru yang pernah mengajar mereka.

“Walaupun sudah puluhan tahun berlalu, hubungan itu masih ada. Malam gala ini menjadi peluang untuk kita menghargai mereka,” katanya.

Setakat ini, kira-kira 30 meja telah ditempah bagi Malam Gala 100 Tahun TIKL dan penganjur menjangkakan sambutan akan terus meningkat menjelang tarikh acara.

Empat kategori meja ditawarkan iaitu Bronze pada harga RM2,000, Silver RM3,000, Gold RM7,000 dan Titanium RM15,000 bagi setiap meja.

Penaja terbesar setakat ini terdiri daripada alumni batch 1977/1978, yang turut mengambil beberapa meja untuk menyokong penganjuran majlis.

Selain itu, terdapat juga sumbangan meja khas untuk pelajar daripada rangkaian alumni yang lebih luas.

Sebagai penghargaan kepada penaja, nama dan logo mereka akan dipaparkan dalam bahan rasmi program serta pada backdrop majlis.

Lebih istimewa, sambutan 100 tahun TIKL turut diserikan dengan penerbitan sebuah buku Coffee Table yang menghimpunkan kisah kejayaan dan pengalaman kira-kira 100 alumni terpilih daripada pelbagai latar belakang.

Buku berkenaan dijadualkan dilancarkan pada malam gala tersebut.

Menurut Haji Norhisham, penerbitan buku itu bertujuan mendokumentasikan kejayaan alumni TIKL serta menunjukkan bahawa lulusan sekolah berkenaan mampu pergi jauh dan berjaya dalam pelbagai bidang.

“Objektifnya adalah untuk menemubual lebih kurang 100 orang alumni dan pengalaman mereka akan dimuatkan dalam buku tersebut.

“Kita mahu menunjukkan bahawa hasil keluaran TIKL boleh pergi ke mana-mana. Bukan setakat bidang teknikal sahaja. Kita ada doktor, pendaki Gunung Everest dan alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden 1 AlumniTEK TIKL, Sasha Arshad @Ozark, menyeru seluruh alumni daripada pelbagai generasi supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Malam Gala 100 Tahun TIKL.

Katanya, majlis tersebut bukan sekadar acara makan malam, tetapi peluang untuk alumni bertemu semula rakan seperjuangan, guru serta generasi lain yang berkongsi sejarah sama.

“Marilah kita sama-sama kembali ke sekolah dan mencurahkan bakti kepada sekolah yang telah mendidik kita sehingga berjaya.

“Ini tempat semuanya bermula. Jadi, kami mengajak semua alumni untuk kembali, meraikan 100 tahun TIKL dan bersama-sama memastikan legasi ini terus berkembang,” katanya.

Malam Gala 100 Tahun TIKL akan berlangsung pada Sabtu, 19 September 2026, bermula jam 8 malam di UTM Residensi Kuala Lumpur.

Alumni yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Haji Norhisham Haji Soin di talian 019-221 4050.

Selepas satu abad, TIKL bukan sekadar sebuah sekolah yang mempunyai sejarah, tetapi sebuah legasi yang terus hidup melalui kejayaan alumninya. Kini, tiba masanya mereka kembali ‘pulang’ untuk meraikan tempat segala-galanya bermula.

Jangan lepaskan peluang untuk kembali ke TIKL, bertemu semula sahabat lama, mengeratkan silaturahim dan bersama-sama meraikan satu abad legasi yang menyatukan seluruh keluarga TIKL.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *