Amyra Rosli & Amar Baharin Dilantik Duta Baharu Siti Khadijah

  • January 1, 2026
  • 3 min read
Amyra Rosli & Amar Baharin Dilantik Duta Baharu Siti Khadijah

PUTRAJAYA, 31 Disember 2025 – Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya sebuah ruang untuk memperlahankan langkah, memperbaiki niat serta mengeratkan hubungan seisi keluarga. Itulah mesej utama yang dibawa oleh pasangan selebriti, Amyra Rosli dan Amar Baharin, apabila mereka sekeluarga diumumkan sebagai Duta Ramadan & Raya Siti Khadijah 2026.

Pelantikan ini turut memeriahkan pelancaran Koleksi Ramadan & Raya 2026, MUSHAFE – Warisan Darul Iman, sebuah koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada Mushaf Terengganu, manuskrip Islam bersejarah yang kaya dengan nilai seni, budaya dan warisan Nusantara.

Koleksi ini menzahirkan kehalusan seni tradisi yang diolah dengan sentuhan moden dan klasik, sekali gus melahirkan rekaan yang anggun, tenang dan sarat makna.

Dalam sesi temu bual, Amyra berkongsi bagaimana keluarganya memilih untuk “slow down” menjelang Ramadan dengan mengurangkan aktiviti yang tidak perlu dan memberi keutamaan kepada kebersamaan di rumah.

“Kami cuba cipta rutin ringkas seperti sahur bersama, berbuka bersama dan, kalau boleh, solat pun bersama. Kami nak jadikan Ramadan lebih dekat dan lebih bermakna, terutamanya untuk anak-anak,” katanya.

Amyra turut menekankan kepentingan membentuk pengalaman Ramadan yang positif buat anak sulungnya yang baru mula belajar berpuasa.


“Saya tak nak anak melihat Ramadan sebagai sesuatu yang menyusahkan atau penuh tekanan. Saya nak dia rasa Ramadan sebagai bulan yang tenang dan menggembirakan.

Waktu berbuka, saya masakkan makanan kegemaran, bawa ke bazar Ramadan sekali-sekala dan ajak dia sama-sama ke terawih,” jelasnya.


Sementara itu, Amar menyifatkan Ramadan sebagai madrasah kehidupan buat dirinya dan keluarga.


“Setiap kali Ramadan, kami anggap ia peluang untuk bermuhasabah. Kita tambah apa yang kurang, perbetulkan apa yang salah dan merapatkan lagi hubungan keluarga.

Seiring dengan aspirasi jenama yang menekankan keseimbangan rohani dan ketenangan jiwa, Siti Khadijah turut memperkenalkan kempen JEDA – Damai Dalam Waktu, satu ajakan untuk berhenti sejenak, memperlahankan langkah dan kembali mencari ketenangan dalam dunia yang serba tergesa-gesa.

Melalui mesej Pause for Peace, kempen ini mengajak masyarakat mengambil ruang jeda bukan untuk lari, tetapi untuk kembali kepada diri, keluarga dan Ilahi, sekali gus menyambut Ramadan dan Syawal dengan jiwa yang lebih damai dan tenang.

Turut diperkenalkan ialah Telekung Basic baharu yang ditawarkan pada harga RM188, lengkap dengan kotak istimewa, menjadikannya pilihan ideal sebagai hadiah bermakna buat insan tersayang. Ia juga sesuai dijadikan bingkisan perkahwinan, buah tangan majlis marhaban serta khatam al-Quran.

Sebagai pasangan yang sering menghadiri majlis ilmu dan acara rasmi, Amyra dan Amar merasakan pendekatan minimalis serta praktikal yang diketengahkan oleh Siti Khadijah selari dengan gaya hidup moden mereka yang realistik dan seimbang.

Kehadiran mereka sebagai duta turut mencerminkan nilai kemesraan, kesederhanaan dan kekeluargaan yang menjadi teras jenama ini, khususnya menerusi koleksi keluarga yang direka tanpa mengabaikan nilai tradisi, kesopanan dan keselesaan.

Orang ramai dijemput untuk menjadikan koleksi eksklusif ini sebagai persalinan seisi keluarga dalam persiapan menyambut Ramadan dan Syawal yang penuh makna. Koleksi boleh didapati di butik-butik Siti Khadijah terdekat atau menerusi laman sesawang rasmi www.sitikhadijah.com. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *