PSA JUARA REKA+, CIPTA ALAT JIMAT AIR WUDUK

  • December 31, 2025
  • 2 min read
PSA JUARA REKA+, CIPTA ALAT JIMAT AIR WUDUK

31 DISEMBER 2025, SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
(PSA) muncul johan Pertandingan REKA+ anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) menerusi inovasi Superb Wudhu Spigot, sekali gus membawa pulang
hadiah wang tunai RM5,000 serta plak.

Kejayaan ini melengkapkan satu lagi pencapaian membanggakan PSA sebagai salah
sebuah institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) terulung di negara
ini sekali gus menutup tirai tahun 2025 dengan cemerlang.
Superb Wudhu Spigot ciptaan sekumpulan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Awam
PSA itu merupakan peralatan penjimatan air untuk wuduk yang direka bagi
mengurangkan penggunaan air terawat sama ada di rumah ibadat mahupun penggunaan
persendirian.

Inovasi ini selari dengan usaha pemeliharaan sumber air serta amalan penggunaan air
secara berhemat dalam kalangan masyarakat.
Menurut SPAN, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama
termasuk tahap praktikaliti, sumbangan terhadap penggunaan air secara berhemat serta
potensi kebolehpasaran produk untuk dikomersialkan.

Mengulas kemenangan itu, Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas
Azman berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan pelajar PSA dalam
menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah memberi manfaat langsung
kepada masyarakat.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen PSA dalam melahirkan pelajar yang berdaya
inovasi serta peka terhadap isu kelestarian, khususnya dalam pengurusan sumber air,”
“Ia juga membuktikan bahawa idea pelajar politeknik mampu untuk diketengahkan ke
peringkat lebih tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan.”

Beliau turut berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada warga PSA untuk terus
menggalakkan budaya inovasi dan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah
sebenar sekali gus memberi sumbangan kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *