ANGKASA SOKONG INISIATIF ICA PERKUKUH IDENTITI KOPERASI MELALUI PERUNDINGAN GLOBAL

  • July 7, 2023
  • 2 min read
ANGKASA SOKONG INISIATIF ICA PERKUKUH IDENTITI KOPERASI MELALUI PERUNDINGAN GLOBAL

ANGKASA menyokong usaha Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dalam inisiatifnya untuk mempromosi dan memperkukuhkan Identiti Koperasi atau Cooperative Identity melalui perundingan global yang akan dijalankan di semua peringkat ICA di bawah naungan Kumpulan Penasihat Identiti Koperasi ICA (ICA-CIAG).

Sokongan tersebut dinyatakan oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail ketika menghadiri Perhimpunan Agung ICA yang telah diadakan di Brussels, Belgium pada 28 Jun 2023. Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Presiden ICA, Mr. Ariel Guarco telah dihadiri oleh lebih 220 delegasi dari lebih 60 negara.

ICA turut akan memperluaskan lagi perkongsian dan pakatan global untuk mempromosikan koperasi serta ekonomi sosial dan perpaduan melalui peranan aktif dalam rangkaian antarabangsa seperti Committee for the Promotion and Advancement of Cooperatives (COPAC), UN Task-Force on the Social and Solidarity Economy (UNTFSSE) dan International Coalition for the Social and Solidarity Economy (ICSSE).

Selain itu, ICA juga akan menekankan kepada ahlinya mengenai kerjasama antara koperasi (C-2-C), sumbangan koperasi kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan memperluaskan inisiatif gerakan koperasi dunia yang menyokong kerjasama pembangunan antarabangsa dengan menyediakan sebuah program susulan berikutan kejayaan perkongsian ICA-EU (2016-2021).

Sebanyak 20 agenda telah dibentangkan dalam perhimpunan kali ini antaranya adalah kelulusan wakil organisasi sectoral yang baru dipilih dalam lembaga ICA iaitu Prof. Petar Stefanov yang telah dicalonkan oleh Consumer Co-operatives Worldwide, Mr. Giuseppe Guerini (Organisation of Industrial and Service Cooperatives), Mr. Bhima Subrahmanyam (International Cooperative Banking Association) dan Mr. Not Dong-Jin (International Co-operative Fisheries Organisation).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *