Waris dua mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar layak terima faedah PERKESO

  • July 8, 2023
  • 2 min read
Waris dua mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar layak terima faedah PERKESO

KUALA LUMPUR – Nasib yang menimpa 10 sekeluarga dalam tragedi kepala air di
Jeram Mawar, Air Puteh dekat Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lalu amat
menyayat hati dan mengundang hiba dalam masyarakat.


Susulan perkembangan operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua selepas
kejadian tidak diduga tersebut, Skuad PERKESO Prihatin Kemaman terus bertindak
mendapatkan maklumat awal serta membuat semakan kelayakan caruman Allahyarham Karim Abdullah, 39 tahun.


Allahyarham yang merupakan bapa kepada tujuh orang anak itu adalah seorang
pencarum PERKESO dan didapati warisnya layak menerima faedah Skim Keilatan
mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Sehubungan itu, waris Allahyarham iaitu adiknya, Muhammad Firdaus akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.


Caruman Allahyarham Karim, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengendali jentera berat di sebuah syarikat pembalakan, melayakkan waris beliau menerima faedah Pencen Penakat.

Walau bagaimanapun, memandangkan isteri dan semua anak beliau terkorban dalam kejadian kepala air tersebut serta ibu bapanya juga telah meninggal dunia, maka tiada lagi waris Allahyarham yang layak menerima
Pencen Penakat tersebut.


Sementara itu, mangsa kesembilan dalam tragedi kepala air Jeram Mawar, iaitu
Muhammad Fiqri Saliman, 24, yang mayatnya ditemui pagi semalam, juga layak terhadap Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di bawah Skim Keilatan.

Bayaran FPM sebanyak RM2,000 akan dibayar kepada waris Allahyarham Muhammad Fiqri Allahyarham merupakan bakal menantu kepada Allahyarham Karim.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan
mendapatkan butiran waris dalam kadar segera bagi menyelesaikan bayaran
faedah pengurusan jenazah.


PERKESO merakamkan ucapan takziah kepada waris keluarga dan semoga kesemua yang terkorban dalam tragedi penuh duka ini dicucuri rahmat Illahi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *