Author: Nurzulaikha

  • UMNO Buka Pintu Penyatuan Tanpa Syarat Kepada Bekas Ahli

    UMNO Buka Pintu Penyatuan Tanpa Syarat Kepada Bekas Ahli

    KUALA LUMPUR, 6 Mac 2026 – UMNO mengumumkan membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat, sebagai usaha memperkukuh kembali kekuatan parti.


    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu selaras dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuh ukhuwah.


    Menurut beliau, parti politik tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi semata-mata, sebaliknya dibina atas sokongan, kebersamaan dan kesetiaan ahli di semua peringkat.


    “UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali bersama perjuangan parti, termasuk individu yang ingin menyertai UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


    Ahmad Zahid berkata dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala perbezaan serta kekhilafan lalu boleh dimaafkan demi membuka lembaran baharu untuk mengukuhkan kembali keluarga besar UMNO.


    Sehubungan itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses tersebut dalam masa terdekat mengikut tatacara yang ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO.


    Tambahnya, usaha penyatuan ini diharap dapat memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.


    “Semoga usaha ini dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan yang mampu memperkukuh parti serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.

  • KL Wellness City Lancar International Positive Energy Half Marathon & Sports Wellness Carnival 2026

    KL Wellness City Lancar International Positive Energy Half Marathon & Sports Wellness Carnival 2026

    KUALA LUMPUR, 4 Mac 2026 – KL Wellness City hari ini melancarkan International Positive Energy Half Marathon & Sports Wellness Carnival 2026, sebuah acara antarabangsa yang menggabungkan sukan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

    Majlis pelancaran yang berlangsung di KL Wellness City, Bukit Jalil itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Tuan Samuel Lee.
    Acara tersebut bakal menghimpunkan peserta dari lebih 30 negara, sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan gaya hidup aktif di peringkat global.
    Pengarah Eksekutif KL Wellness City, Dato’ Sri Dr. Vincent Tiew, berkata penganjuran acara ini bukan sekadar larian marathon tetapi platform untuk memupuk nilai tenaga positif, kesejahteraan mental dan perpaduan komuniti.


    “Acara ini menghimpunkan sektor kerajaan, industri dan komuniti bagi mewujudkan pengalaman kesihatan yang menyeluruh kepada semua peserta,” katanya.
    Sementara itu, Pengarah Urusan KT Cyclone Sdn. Bhd., Richmen Choo, berkata program ini turut membawa misi sosial dengan menyokong organisasi seperti Malaysia Scout Club dan National Cancer Society Malaysia (NCSM).


    Karnival berkenaan dijadual berlangsung 15 hingga 17 Mei 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, manakala acara larian utama akan diadakan pada 17 Mei.
    Antara kategori larian yang dipertandingkan ialah 21KM Half Marathon, 10KM dan 5KM Fun Run.
    Selain acara larian, karnival itu juga bakal menampilkan lebih 300 gerai pameran kesihatan dan sukan, bengkel interaktif, pameran keselamatan digital, aktiviti Relay for Life, sambutan survivor kanser, serta bazar makanan dan minuman.


    Penganjuran acara ini turut disokong beberapa organisasi termasuk Malaysia Scout Club, National Cancer Society Malaysia (NCSM), RichestLife (Super Life Secret Code) dan KL Wellness City.
    Program tersebut juga bertujuan menjana dana bagi menyokong aktiviti kebajikan serta merancakkan sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan peluang perniagaan komuniti.

  • MetMalaysia Keluar Amaran Ribut Petir di Tujuh Negeri Hingga 7 Malam

    MetMalaysia Keluar Amaran Ribut Petir di Tujuh Negeri Hingga 7 Malam

    KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tujuh negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 7 malam ini.

    Negeri terlibat ialah Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

    Di Kedah, kawasan terjejas termasuk Sik, Baling dan Kulim. Di Perak pula melibatkan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.

    Di Pahang, antara kawasan terlibat ialah Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan, manakala di Selangor membabitkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

    Amaran sama turut melibatkan Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan, selain beberapa daerah di Melaka dan Johor termasuk Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

  • Rumah Baharu Buat Ah Ma Cha Moi, 89, Hadiah Tahun Baharu Paling Bermakna

    Rumah Baharu Buat Ah Ma Cha Moi, 89, Hadiah Tahun Baharu Paling Bermakna

    Penantian seorang warga emas berusia 89 tahun untuk menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa akhirnya menjadi kenyataan apabila sebuah rumah baharu berjaya disiapkan kurang daripada dua bulan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

    Ah Ma Cha Moi yang uzur dan kini perlu bertongkat untuk berjalan sebelum ini tinggal di sebuah rumah kayu berusia hampir 70 tahun. Rumah berkenaan dibina oleh mendiang suaminya ketika mereka mendirikan rumah tangga puluhan tahun lalu dan menjadi saksi perjalanan hidup pasangan itu.

    Bagaimanapun, keadaan rumah yang semakin reput dan tidak lagi selamat diduduki menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Ah Ma yang tinggal bersama ahli keluarga.

    Pada Disember lalu, satu janji dibuat untuk membina semula kediaman Ah Ma sebelum ketibaan Tahun Baharu Cina. Janji tersebut ditunaikan apabila rumah baharu berjaya disiapkan dalam tempoh kurang dua bulan.

    Rumah baharu itu kini dilengkapi ruang tamu yang selesa, perabot baharu serta bumbung yang kukuh dan tidak lagi bocor. Ah Ma turut mempunyai bilik tidur yang lebih nyaman dan bilik air yang dilengkapi kemudahan mesra warga emas bagi memastikan keselamatannya.

    Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menjadi lebih bermakna apabila keluarga dapat berkumpul di rumah baharu tersebut untuk menikmati hidangan bersama.

    Walaupun Ah Ma dan individu yang berjanji membantunya masing-masing sempat dimasukkan ke hospital dalam tempoh perayaan, hasrat untuk menziarahi dan meraikan detik istimewa itu akhirnya dapat ditunaikan selepas masing-masing kembali pulih.

    Ah Ma turut mengenang kembali kenangan ketika pertama kali memasuki rumah yang dibina arwah suaminya suatu ketika dahulu. Kini, walaupun suami tercinta telah tiada, anak dan cucu menjadi peneman setia di hari tuanya.

    Usaha membina rumah baharu itu disifatkan sebagai simbol permulaan baharu buat Ah Ma – bukan sekadar kediaman yang lebih selamat, tetapi juga suntikan semangat untuk menjalani hari-hari mendatang dengan lebih tenang dan bermaruah.

    Keluarga berharap Ah Ma terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama insan tersayang.

  • Anggota Bomba terharu Menteri KPKT meluangkan masa memasak dan bersahur di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh

    Anggota Bomba terharu Menteri KPKT meluangkan masa memasak dan bersahur di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh

    KUALA LUMPUR, 25 Februari 2026 – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, telah meneruskan tradisi menyantuni barisan hadapan menerusi Program Singgah Sahur MADANI bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh diiringi oleh Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Sri Nor Hisham bin Mohammad, serta pegawai-pegawai kanan dan anggota JBPM.

    Seawal jam 4.00 pagi, YB Menteri meluangkan masa bersama anggota bomba yang sedang bertugas sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara. Beliau turut turun padang membantu menyediakan juadah sahur sebelum menikmati hidangan bersama kira-kira 100 wira dan wirawati merah dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.

    Menurut beliau, anggota JBPM merupakan insan luar biasa yang sentiasa bersedia berkorban masa dan tenaga, termasuk meninggalkan keluarga ketika saat genting, demi menjalankan amanah kepada negara. Program ini memberi peluang kepada beliau untuk merasai sendiri rutin dan kesiapsiagaan pasukan penyelamat yang kekal komited berkhidmat tanpa mengira waktu, termasuk sepanjang Ramadan.

    Inisiatif Singgah Sahur ini merupakan kesinambungan tradisi yang dimulakan tahun lalu di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan KPKT dalam menjaga kebajikan dan memahami denyut nadi lebih 15,000 warga penyelamat di seluruh negara.

    KPKT dan JBPM akan terus memperkukuh sinergi strategik dalam memastikan kebajikan anggota sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    MalaysiaMADANI

    Kesejahteraan

    StrongerTogether

    DemiPertiwi

    UnityInDiversity

    RancakkanMADANI

  • Permohonan Skim Dana Padanan(SDP) dan Conserts & Event in Malaysia Incentive (CEMI) 2026 kini dibuka

    Permohonan Skim Dana Padanan(SDP) dan Conserts & Event in Malaysia Incentive (CEMI) 2026 kini dibuka

    WARTAWAN – Abg Ali UTV

    KUALA LUMPUR, 28 Februari 2026 – MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (“MyCreative”) secara rasmi melancarkan Skim Dana Padanan (SDP) dan Concerts and Events In Malaysia Incentive (CEMI) 2026, dua inisiatif strategik di bawah aspirasi Belanjawan MADANI dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM2.5 juta dan RM10 juta pada
    tahun ini.


    Skim Dana Padanan (SDP) menawarkan geran padanan hingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang diluluskan untuk penghasilan karya asli baharu dan/atau harta intelek baharu, dalam sektor seni persembahan, seni visual, muzik, kandungan kreatif, seni
    tradisional dan kebudayaan, dan seni multidisiplin. Permohonan daripada sektor kreatif lain yang disokong MyCreative turut akan dipertimbangkan, tertakluk kepada kriteria dan objektif program.


    SDP menyokong penghasilan karya baharu yang berpotensi memberi impak jangka
    panjang, menyokong pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh industri kreatif negara.


    Permohonan SDP dibuka sehingga 27 Mei 2026. Selain itu, Concerts and Events in Malaysia Incentive (CEMI) merupakan satu program rebat kewangan di bawah Belanjawan MADANI yang menyokong penganjuran konsert dan
    acara berskala besar melibatkan artis tempatan dan antarabangsa. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf antarabangsa di samping merangsang aktiviti ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memberi limpahan manfaat kepada industri serta perniagaan tempatan.


    CEMI pada edisi 2025 telah berjaya merekodkan limpahan ekonomi sebanyak RM39.48 juta melalui penganjuran lapan konsert berskala besar dengan jumlah dana diluluskan sebanyak RM8.96 juta.

  • Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah terhadap isu Tuntutan Tanah Adat di FELDA sahabat 22 & 23

    Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah terhadap isu Tuntutan Tanah Adat di FELDA sahabat 22 & 23

    KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI 2026 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang diwakili oleh Tetuan Ronny Cham & Co mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Februari 2026 yang
    membatalkan keputusan arahan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah berhubung
    cadangan penyerahan tanah 400 hektar bagi dakwaan tuntutan yang berkaitan
    dengan Tanah Adat Anak Negeri (NCR).

    Untuk rekod, tanah berkenaan telah diperoleh secara sah oleh FELDA melalui pajakan selama 99 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1984. Sejak tahun 2009, kawasan ini telah menjadi subjek tuntutan oleh beberapa kumpulan yang mendakwa sebagai hak tanah adat. Bagi mendapatkan pencerahan isu ini, FELDA telah membuat permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini.

    Dengan keputusan ini, tanah berkenaan kekal di bawah hak milik FELDA. FELDA
    komited untuk meneruskan pembangunan dan pengurusan ladang secara mampan
    demi kepentingan peneroka serta pembangunan ekonomi Negeri Sabah dan Negara.

  • Dapur Goodday Musim Kedua Kembali, Angkat Konsep ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’

    Dapur Goodday Musim Kedua Kembali, Angkat Konsep ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’

    KUALA LUMPUR, 23 Februari 2026 – Program realiti drama masakan pertama seumpamanya di Malaysia, Dapur Goodday, kembali dengan musim kedua yang lebih dinamik dan interaktif sempena Ramadan tahun ini.


    Program terbitan Astro itu akan mula bersiaran pada 18 Februari, setiap 5.30 petang di Astro Ria, selain boleh distrim menerusi Astro GO dan portal Astro Gempak.


    Dari Skrin ke Pinggan Meneruskan konsep unik ‘Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli’, penonton bukan sahaja menyaksikan hidangan di kaca televisyen, malah berpeluang menikmati sendiri menu yang sama di dunia sebenar.


    Setiap hidangan yang dipaparkan dalam episod harian akan dijual kepada orang ramai di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada keesokan harinya. Lebih menarik, menu di bazar akan berubah setiap hari mengikut sajian yang disiarkan, sekali gus menjadikan pengalaman Ramadan lebih interaktif dan segar buat pengunjung.


    Inisiatif ini memperkukuh konsep “dari skrin ke pinggan”, menghubungkan dunia hiburan dan kulinari dalam satu pengalaman unik sepanjang bulan Ramadan.


    Watak Ikonik Inspektor Sani Kembali
    Selepas kejayaan musim pertama Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tujah vs Che Ton, musim kedua tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi kemunculan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem pecah panggung Polis Evo, yang dijayakan oleh Zizan Razak sebagai watak utama.
    Dalam musim terbaharu ini, Inspektor Sani menjalankan operasi penyamaran sebagai peniaga makanan di Kampung Hari Baik bagi menjejaki Capik, seorang dalang dadah yang licik.


    Dibantu pegawai Gen Z yang bijak dan serba guna, Inspektor Sani menggunakan hidangan viral ciptaannya, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, sebagai “senjata” untuk mendekati penduduk kampung, mencuri hati mereka serta meraih kepercayaan komuniti setempat. Di sebalik gelak tawa dan interaksi mesra, terselit strategi halus bagi mengesan dan membongkar lokasi persembunyian Capik.


    Hidangan Signature Ramadan
    Keunikan Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani turut terserlah apabila setiap resipi menggunakan susu Goodday sebagai ramuan utama, menghasilkan sajian yang lebih berkrim dan kaya rasa.
    Hidangan istimewa musim ini, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, diinspirasikan daripada cita rasa tempatan yang diperkaya dengan sentuhan susu Goodday, menjadikannya menu signature eksklusif Ramadan.
    Sebagai tawaran pengenalan, hidangan tersebut ditawarkan pada harga promosi serendah RM0.99 untuk seekor ayam bagi dua hari terawal Ramadan.


    Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Justina Raja Arshad, kejayaan musim pertama menjadi pemangkin untuk tampil dengan skala dan pendekatan lebih dinamik bagi musim kedua, selain memperluaskan pengalaman program ke Bazar Ramadan secara lebih menyeluruh dan imersif.


    Dengan gabungan elemen drama, komedi dan kulinari, Dapur Goodday musim kedua dijangka terus mencuri perhatian penonton serta menjadi antara program pilihan sepanjang Ramadan tahun ini.

  • Ramadan KUSKOP Bersama Mufti Wilayah Persekutuan

    Ramadan KUSKOP Bersama Mufti Wilayah Persekutuan

    PUTRAJAYA, 23 FEBRUARI- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini menganjurkan Mailis Iftar di Putrajaya. Majlis ini merupakan platform tahunan bagi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja kementerian, agensi serta para pemegang taruh di samping menghayati keberkatan bulan Ramadan yang mulia.

    Program ini turut diserikan dengan kehadiran Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan yang telah menyampaikan tazkirah selama 30 minit. Melalui penyampaian vang rinakas dan mudah difahami beliau menjelaskan bahawa Ramadan merupakan medan terbaik untuk memperbaik diri serta membentuk peribadi yang lebih baik.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong telah menyampaikan sumbangan daripada KUSKOP dan agensi di bawahnya berjumlah RM18,000.00 kepada Rumah Bakti Al Kausar. Beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM 10,000.00 serta barangan keperluan asas termasuk makanan kepada 20 orang anak-anak yatim dari rumah amal tersebut.

  • Malaysia peringati Hari Keadilan Sosial Sedunia, tekankan pembangunan inklusif

    Malaysia peringati Hari Keadilan Sosial Sedunia, tekankan pembangunan inklusif

    PUTRAJAYA, 20 Feb — Kementerian Perpaduan Negara menegaskan komitmen negara untuk memperkukuh pembangunan sosial inklusif sempena sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia hari ini.


    Sambutan yang diisytiharkan oleh United Nations General Assembly itu mengiktiraf kepentingan mempromosikan keadilan sosial, termasuk usaha menangani kemiskinan, ketidaksamaan gender, pengangguran, hak asasi manusia dan perlindungan sosial.


    Bagi tahun 2026, tema “Renewed Commitment to Social Development and Social Justice” menzahirkan tekad memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.
    Menurut kementerian, kemakmuran negara bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga keadilan dalam pengagihan peluang dan akses kepada pendidikan, pekerjaan, perumahan, kesihatan serta perlindungan sosial.


    Pendekatan tadbir urus yang telus dan inklusif, katanya, penting untuk mengukuhkan perpaduan nasional serta memastikan manfaat pembangunan dirasai semua lapisan masyarakat.