PUTRAJAYA, 20 Feb — Kementerian Perpaduan Negara menegaskan komitmen negara untuk memperkukuh pembangunan sosial inklusif sempena sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia hari ini.
Sambutan yang diisytiharkan oleh United Nations General Assembly itu mengiktiraf kepentingan mempromosikan keadilan sosial, termasuk usaha menangani kemiskinan, ketidaksamaan gender, pengangguran, hak asasi manusia dan perlindungan sosial.
Bagi tahun 2026, tema “Renewed Commitment to Social Development and Social Justice” menzahirkan tekad memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.
Menurut kementerian, kemakmuran negara bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga keadilan dalam pengagihan peluang dan akses kepada pendidikan, pekerjaan, perumahan, kesihatan serta perlindungan sosial.
Pendekatan tadbir urus yang telus dan inklusif, katanya, penting untuk mengukuhkan perpaduan nasional serta memastikan manfaat pembangunan dirasai semua lapisan masyarakat.



