Bayi perempuan dua bulan ditinggal dalam beg tepi kedai makan

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditemui ditinggalkan di sekitar sebuah restoran di kawasan Pangsapuri Sri Rakyat Bandar Baru Bukit Jalil di sini semalam.
Penemuan bayi itu dilaporkan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada jam 10.49 pagi menerusi panggilan MERS 999 oleh orang awam, menurut Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Polis Bukit Jalil telah dihantar ke lokasi penemuan bayi itu untuk menjalankan siasatan.
“Siasatan awal mendapati bayi perempuan dianggar berusia dua bulan itu ditemui orang awam dalam sebuah beg dan diletakkan di kawasan kedai makan.
“Pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan dan mengesahkan bayi berada dalam keadaan sihat,” ujar beliau dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Talian Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585, atau mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini.