Bank Rakyat perkukuh daya saing menerusi cawangan Tanjong Karang
TANJONG KARANG, 26 SEPTEMBER 2022- Bank Rakyat mengukuhkan kedudukan
dan daya saingnya menerusi cawangannya di Tanjong Karang bagi menawarkan
perkhidmatan perbankan secara inklusif kepada komuniti setempat.
Menurut YB Tan Sri Noh, cawangan ini menempatkan Pusat Latihan SME bagi
membolehkan usahawan dan koperasi mengadakan kursus, seminar, perjumpaan dan
perbincangan untuk dimanfaatkan oleh komuniti Tanjong Karang bagi meluaskan
jaringan perniagaan.
Majlis perasmian cawangan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh bin Haji Omar.
Beliau juga berharap agar Bank Rakyat dapat memberikan pengalaman terbaik kepada
masyarakat di sini, khususnya dalam menjalankan urusan perbankan dengan mudah, selamat dan pantas, sekali gus dapat memberi manfaat kepada hampir 40,000 orang
penduduk di Tanjong Karang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
YB Tan Sri Noh berkata, Bank Rakyat juga memperkenalkan kemudahan pembiayaan
BR ProNiaga dan BRKOPLestari seiring dengan saranan kerajaan untuk menawarkan
pilihan produk perbankan, khusus bagi golongan usahawan.
Bagi BR ProNiaga, Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membantu golongan profesional yang terjejas pendapatannya sebelum ini akibat pandemik COVID-.19 dan kini menceburi bidang perniagaan dengan menjadi usahawan perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS).
Manakala, BR KOPLestari memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu
melestarikan perniagaan koperasi dari sektor pendidikan dan masjid seperti koperasi
sekolah, institusi pendidikan tinggi (IPT) serta koperasi guru yang berdepan dengan
pelbagai kekangan untuk meneruskan perniagaan dalam fasa endemik ini.
Tambah beliau, inisiatif ini amat dialu-alukan kerana bertepatan dengan komitmen
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu
golongan usahawan meliputi pelbagai sektor dan industri yang terjejas sebelum ini untuk
bangkit semula.
Di samping itu, pada Julai lalu, Bank Rakyat memperkenalkan produk penulisan wasiat
dan rujukan pentadbiran harta pusaka yang dikenali sebagai Wasiat Rakyat dan Pusaka
Rakyat.
Kedua-dua produk ini merupakan hasil usaha sama strategik Bank Rakyat bersama
MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) dalam menawarkan perkhidmatan pentadbiran
harta pusaka dan penulisan wasiat secara komprehensif menerusi cawangannya di
seluruh negara.
“Bank Rakyat sentiasa memperkenalkan produk perbankan yang inklusif untuk
memudahkan urusan kewangan pelanggan, termasuk dalam memastikan perancangan
wasiat serta pentadbiran harta pusaka pelanggan terjamin,” tambah YB Tan Sri Noh.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Bank
Rakyat komited dalam mengukuhkan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) seiring dengan saranan Bank Negara Malaysia bagi memastikan impak yang positif kepada ekonomi serta komuniti menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan yang mampan dan
terangkum.
Tambah beliau, kehadiran Bank Rakyat di beberapa lokasi bersasar seperti pekan kecil
bertujuan untuk menawarkan saluran perkhidmatan yang memudahkan komuniti luar
bandar dan pedalaman melakukan transaksi perbankan tanpa perlu menghadapi
perjalanan jauh ke bandar.
Bank Rakyat turut memperkenalkan produk pelaburan sulungnya iaitu Akaun Pelaburan-
i Rizq Plus Bank Rakyat yang membolehkan pelanggannya melabur dalam aktiviti
kewangan patuh Syariah.
Menerusi produk terbaharu ini, pelanggan boleh menikmati kadar keuntungan yang lebih
tinggi dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan turut berpeluang memenangi
hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta secara keseluruhan menerusi program cabutan
hadiah pada setiap bulan.
Pada majlis itu, Bank Rakyat turut memberikan sumbangan kepada 85 orang usahawan
asnaf berjumlah RM85,000 untuk membantu Keluarga Usahawan yang memerlukan.