Kes cubaan culik di Ipoh tidak benar, hanya rekaan murid -Polis Perak

  • September 27, 2022
  • 2 min read
Kes cubaan culik di Ipoh tidak benar, hanya rekaan murid -Polis Perak

IPOH: Dakwaan kes cubaan culik seorang murid perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah yang tular di media sosial ternyata tidak benar dan hanyalah rekaan kanak-kanak tersebut semata-mata.

Kenyataan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri kepada sidang media hari ini mengesahkan perkara itu setelah siasatan terperinci dilakukan terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun berkenaan bersama beberapa saksi.

“Kita sudah menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya dan kita memanggil lima saksi iaitu rakan sebaya, dua pengawal keselamatan dan pemandu van yang menghantar kanak-kanak itu.

“Kita mendapati cerita dan laporan yang mengatakan cubaan diculik adalah tidak benar sama sekali.

“Kanak-kanak ini hanya mereka-reka cerita kepada ibunya kerana terpengaruh dengan kejadian di luar negara yang ditularkan di media sosial berkenaan kejadian kanak-kanak ditangkap, diculik dan dijual organ,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, ekoran kejadian tersebut, pihak polis turut memanggil kanak-kanak berkenaan untuk disoal siasat.

“Dia terpengaruh dengan perkara itu sebelum mereka cerita kepada ibunya yang kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya.

“Dia ingin melihat bagaimana polis mengambil tindakan dan melakukan siasatan (berhubung kes culik),” ujarnya.

Jelasnya lagi, siasatan mendapati van putih yang dikaitkan dengan kes cubaan culik yang turut tular di media sosial adalah tidak benar.

“Ia sebenarnya adalah van membawa pekerja. Orang ramai ingat van putih dan terus ingat adalah suspek (mahu cuba menculik),” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut dan belum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *