KUALA LUMPUR, 18 Feb — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menurunkan khemah dan memindahkan barangan di Jalan Bukit Bintang selepas tiada wakil tampil memberi penjelasan walaupun telah menunggu lebih 30 minit di lokasi.
Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan pada 17 Februari lalu berhampiran Bangunan Yayasan Selangor selepas pemantauan mendapati khemah didirikan di laluan pejalan kaki awam, sekali gus melanggar peraturan serta berpotensi menjejaskan keselamatan dan kelancaran pergerakan orang ramai.
Menurut DBKL, pegawai telah hadir bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat, namun tiada wakil tampil. Susulan itu, khemah diturunkan dan barangan dipindahkan ke simpanan selaras dengan undang-undang kecil berkuat kuasa.
Pihak berkuasa menegaskan penguatkuasaan dibuat secara profesional dan berlandaskan undang-undang demi memastikan keselamatan serta ketenteraman bandar di Kuala Lumpur terus terpelihara.
DBKL turut memaklumkan ia tidak menghalang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua program perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, DBKL akan mengadakan pertemuan dengan Multiracial Reverted Muslims (MRM) bagi mencari penyelesaian jangka panjang dan mengelakkan kejadian sama berulang.



