KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Kerajaan MADANI melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan projek penurapan jalan secara menyeluruh di semua 51 kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan DBKL.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan PA dan PPR termasuk projek penurapan jalan yang melibatkan 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, inisiatif ini mencatat sejarah tersendiri kerana ia merupakan pelaksanaan pertama penurapan jalan secara menyeluruh di kawasan PA dan PPR melalui projek berskala besar oleh DBKL.
Bagi suku pertama tahun 2026, kerja penurapan jalan telah siap dilaksanakan di tujuh lokasi iaitu:
PPR Beringin
PPR Wahyu
PPR Gombak Setia
PPR Hiliran Ampang
PPR Air Panas
PA Hang Tuah
PA Seri Perlis 1
Dua lagi lokasi yang sedang dalam pelaksanaan ialah PPR Sungai Bonus dan PPR Seri Malaysia.
Hannah berkata usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan DBKL untuk memastikan warga PA dan PPR menikmati persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti, selaras dengan aspirasi meningkatkan kesejahteraan hidup warga Kuala Lumpur.



