DBKL Perkukuh Pendekatan Selesaikan Isu Rakyat di Peringkat Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2026 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkukuh pendekatan menyelesaikan isu rakyat secara langsung di peringkat komuniti bagi memastikan setiap masalah dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Menteri yang turut dihadiri pengurusan kanan DBKL serta Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membincangkan dasar dan isu berkaitan pentadbiran bandar.


Menurut beliau, fokus utama kerajaan adalah memastikan masalah rakyat diselesaikan di peringkat akar umbi, bukan sekadar dibincangkan di ibu pejabat.
Mulai April 2026, Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar yang diadakan setiap bulan akan dilaksanakan dengan pendekatan baharu iaitu diadakan di kawasan Parlimen masing-masing.


Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif DBKL sebagai wakil Datuk Bandar bersama Ahli Parlimen kawasan bagi membolehkan isu setempat dibincangkan secara lebih terperinci.
Pendekatan itu juga dijangka memperkukuh peranan Pejabat Cawangan DBKL di setiap kawasan Parlimen serta membawa keupayaan dan sumber ibu pejabat terus ke lapangan bagi mempercepat penyelesaian isu.


Selain itu, agensi dan pihak berkepentingan berkaitan turut akan dijemput supaya setiap isu dapat dibincangkan secara lebih terselaras dan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Hannah menegaskan pentadbiran bandar tidak boleh terpisah daripada realiti di lapangan, dan melalui pendekatan ini DBKL akan lebih dekat dengan komuniti bagi memastikan isu rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tepat dan berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *