FELDA KOMITED PERKUKUH KEDUDUKAN KEWANGAN

Kuala Lumpur, 27 Februari 2025 – FELDA mengalu-ngalukan kenyataan Ketua Audit
Negara berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 dalam Penyata Kewangan
Agensi Persekutuan Tahun 2023, yang memaklumkan bahawa prestasi kewangan
dua (2) Syarikat Subsidiari FELDA mengalami kerugian sebanyak RM165 juta.
Kenyataan yang dirujuk adalah kepada syarikat subsidiari dan bukannya FELDA.
Antara faktor kerugian adalah disebabkan oleh pembayaran faedah RM136 juta
kepada GOVCO Holdings Berhad dan juga penjejasan nilai pelaburan dalam Syarikat
Bersekutu akibat penurunan harga pelaburan saham pada tahun 2023 sebanyak
RM25 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya. Dalam laporan yang sama,
sebanyak sembilan (9) lagi Syarikat Subsidiari FELDA merekodkan keuntungan.
FELDA terus komited untuk memastikan kedudukan kewangan yang kukuh dan
mampan dengan mengambil langkah-langkah strategik bagi meningkatkan
kecekapan pengurusan serta mengurangkan risiko kewangan. Selain itu, FELDA akan
terus mengukuhkan kawalan kewangan dan memperbaiki prestasi anak-anak syarikat
bagi memastikan kestabilan, berdaya tahan dan berada di landasan yang betul.