KUALA LUMPUR, 28 Jan — Asian Youth Festival 2026 (AYF 2026) secara rasmi dilancarkan hari ini sebagai platform utama Malaysia untuk mengangkat budaya, kreativiti dan gaya hidup belia Asia, sejajar dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).


Festival yang dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Explorers World Ventures Sdn Bhd dan Memories Entertainment Sdn Bhd itu dijadual berlangsung dari 10 hingga 12 Julai 2026 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC).
Pelancaran AYF 2026 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Chew Choon Man, dengan kehadiran wakil MOTAC, Tourism Malaysia, barisan duta dan pesuruhjaya tinggi, rakan strategik serta pengamal media.
Menurut Chew, penganjuran festival berteraskan belia itu dilihat mampu merangsang pertumbuhan pelancongan serta memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi budaya dan gaya hidup belia serantau.


“Festival ini menyatukan belia Asia melalui minat bersama merangkumi muzik, sukan dan budaya digital, sekali gus menyemai hubungan serantau dan pertukaran ekonomi jangka panjang,” katanya.
AYF 2026 bakal merangkumi tujuh zon utama di kawasan seluas lebih sejuta kaki persegi, termasuk konsert muzik, arena e-sukan, zon anime dan cosplay, fesyen jalanan, perkampungan makanan Asia, sesi perbincangan belia serta kejohanan pickleball peringkat Asia.


Festival itu juga mengetengahkan konsep ‘Pop-In Malaysia’, yang menampilkan negara ini sebagai hab pertemuan budaya moden dan tradisi Asia, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan gaya hidup belia.
Pengasas bersama festival, Chris Avinash, berkata AYF 2026 bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya sebuah ekosistem yang meraikan peranan belia sebagai pemacu ekonomi kreatif dan budaya masa kini.

Sementara itu, Marina Abdullah dari Memories Entertainment menegaskan penganjuran festival itu mencerminkan komitmen Malaysia sebagai tuan rumah yang inklusif serta berupaya menghubungkan pelbagai generasi dan budaya.
Program penuh serta barisan peserta festival akan diumumkan dari semasa ke semasa.



