Harum Daun Pisang, Lemak Manis Inti Kelapa – Tepung Bungkus Jadi Pesona di Festival Citarasa Warisan@ Pantai Timur

KOTA BHARU, 5 Sept – Aroma harum tepung bungkus yang dikukus dalam balutan daun pisang berjaya mencuri perhatian pengunjung pada hari pertama Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Kuih tradisional Kelantan itu menjadi antara tarikan utama apabila pengusaha tempatan, Nozul Raida binti Zainal Abidin dari Mama Dia Homemade, tampil memperkenalkan sajian warisan hasil air tangan sendiri.

Menurut beliau, keistimewaan kuih tepung bungkus terletak pada inti kelapa muda segar dan nisan asli yang digaul rapi, menghasilkan rasa lemak manis yang membangkitkan nostalgia masyarakat terhadap kuih tradisional.

Saya mahu generasi baharu kenal dan jatuh cinta dengan kuih warisan kita. Tepung bungkus bukan sekadar manisan, tetapi sebahagian daripada identiti budaya Kelantan. Saya juga amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kerajaan Negeri Kelantan, serta Jabatan Warisan Negara kerana menganjurkan festival sebesar ini yang memberi ruang kepada peniaga kecil seperti saya memperkenalkan produk tradisional ke pentas lebih luas,” katanya ketika ditemui.

Festival anjuran Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kerajaan Negeri Kelantan itu berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025, dengan mengetengahkan konsep “Jom! Bekwoh” yang membawa suasana kenduri kampung ke tengah kota.

Objektif utama festival ini adalah mempromosikan dan memartabatkan makanan warisan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), khususnya makanan tradisional Kelantan. Selain itu, festival turut menampilkan demonstrasi penyediaan makanan hampir pupus, persembahan seni budaya jalanan (heritage street performance), dan penyertaan pelbagai komuniti termasuk chef, persatuan serta institusi pendidikan.

Festival yang berlangsung selama tiga hari ini dijangka menarik ribuan pengunjung, sekali gus menjadikan makanan warisan seperti tepung bungkus terus relevan dan dikenali di seluruh lapisan masyarakat. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *