IJM Land Raikan 15 Tahun Program CSR ‘MyHome’ dengan Penyerahan Rumah Baharu di Seremban dan Sandakan

  • May 7, 2025
  • 5 min read
IJM Land Raikan 15 Tahun Program CSR ‘MyHome’ dengan Penyerahan Rumah Baharu di Seremban dan Sandakan

Seremban, 5 Mei 2025 – IJM Land Berhad (“IJM Land”) meraikan ulang tahun ke-15 inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) teras syarikat, iaitu Program ‘MyHome’, dengan penyiapan dan penyerahan dua buah rumah yang telah dibaik pulih, masing-masing terletak di Seremban, Negeri Sembilan dan Sandakan, Sabah.

Dilancarkan pada tahun 2010, Program MyHome diwujudkan dengan matlamat utama untuk meningkatkan kualiti hidup isi rumah yang terpinggir dan kurang berkemampuan di seluruh Malaysia. Dengan memberi penekanan kepada penyediaan tempat tinggal yang kondusif, program ini telah memberi impak positif kepada 23 buah isi rumah sepanjang tempoh 15 tahun pelaksanaannya.

Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan sosial IJM Land, menzahirkan komitmen berterusan syarikat dalam menyumbang kepada komuniti menerusi infrastruktur kediaman berkualiti tinggi.

Menyemai Harapan Baharu Melalui Program MyHome di Seremban

Pada tahun 31 Mac 2025, IJM Land Berhad terus memperluaskan pelaksanaan Program MyHome dengan mengambil langkah proaktif membina semula kediaman milik Encik Chan Ngan Chong, 61 tahun, yang terletak di Kampung Baru Batu 8, Labu, Seremban.

Usaha ini bukan sahaja menzahirkan komitmen syarikat dalam memperkasa komuniti terpinggir, malah menjadi impak positif yang dicapai menerusi pendekatan holistik program ini.

Kediaman asal keluarga empat beranak ini berada dalam keadaan uzur dan tidak selamat untuk didiami. Kediaman ini hanya mempunyai satu bilik tidur kecil serta mengalami kerosakan struktur yang serius termasuk dapur yang tidak lagi berfungsi, kerosakan serangan anai-anai, serta risiko ancaman keselamatan kepada penghuni.

Pemeriksaan teknikal yang dijalankan mengesahkan bahawa rumah tersebut berisiko tinggi untuk runtuh dalam tempoh setahun sekiranya tidak dibaik pulih.

Kesukaran yang dialami Encik Chan semakin terbeban oleh keadaan kesihatan beliau. Selepas diserang penyakit strok pada tahun 2022, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Puan Puniamah, 60 tahun, yang dahulunya bekerja sebagai pencuci pinggan dan terpaksa meninggalkan pekerjaan demi menjadi penjaga sepenuh masa suaminya.

Dalam situasi kewangan yang serba kekurangan, keluarga ini turut dibebani tunggakan bil elektrik yang mencecah lebih RM4,000 — satu lagi beban yang turut diselesaikan oleh IJM Land sebagai sebahagian daripada sokongan menyeluruh program ini.

Disebabkan situasi keadaan yang mendesak, IJM Land telah melaksanakan pembinaan semula kediaman secara menyeluruh. Rumah baharu yang diserahkan kini merangkumi:

  1. Tiga bilik tidur, berbanding dua dalam reka bentuk asal, bagi memenuhi keperluan ruang keluarga yang membesar;
  2. Satu unit tandas dan bilik mandi yang lengkap dan selesa;
  3. Dapur berfungsi sepenuhnya, serta ruang tamu dan ruang makan yang diperluas bagi menyediakan persekitaran hidup yang lebih harmoni;
  4. Landskap persekitaran dan elemen keselamatan ditambah baik, menjadikan kediaman lebih kondusif, selamat dan mesra warga emas.

Dalam usaha memastikan kediaman tersebut lengkap untuk dihuni, IJM Land juga menyediakan perabot asas serta kelengkapan elektrik penting, termasuk kipas, lampu dan perkakas dapur. Kelengkapan asas ini turut membantu keluarga ini memulakan fasa kehidupan baharu dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.

Rumah Baharu untuk Warga Emas di Sandakan

Di Sandakan, rumah satu tingkat milik Encik Wong See Kong, 82, yang dihuni bersama dua anak perempuannya, sebelum ini mengalami kerosakan serius termasuk bumbung bocor, dapur yang tidak stabil, siling berkulat, pendawaian elektrik yang terdedah dan tiada akses kepada air bersih. Dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hasil kerja anaknya di sebuah kedai runcit, keluarga Encik Wong tidak mempunyai peruntukan untuk membaiki kediaman mereka.

Melalui MyHome, rumah mereka telah diperbaharui secara menyeluruh termasuk:

  1. membaik pulih dan membina semula dapur dengan bahan yang selamat
  2. menggantikan siling berkulat dan mengecat semula keseluruhan rumah
  3. memasang sistem bekalan air bersih dan dapur gas baharu
  4. menaik taraf pendawaian elektrik
  5. meletakkan lantai simen dan membersihkan ruang dalaman
  6. memasang pagar dan pintu pagar baharu bagi tujuan keselamatan

Kini, rumah tersebut menjadi tempat tinggal yang bersih, selesa dan selamat bagi keluarga Encik Wong.

Meneruskan Misi di Seluruh Malaysia

MyHome merupakan inisiatif utama di bawah program IJM Cares, yang memperkukuh komitmen IJM Land terhadap tanggungjawab sosial. Menurut Datuk Chai Kian Soon, Ketua Pegawai Operasi IJM Land:

“MyHome bukan sekadar program CSR—ia adalah usaha kami untuk memberi semula kepada masyarakat yang telah menyokong kejayaan kami. Kami percaya bahawa perubahan sebenar bermula dengan memahami keperluan asas keluarga iaitu dengan menyediakan rumah yang selamat dan terjamin. Sejak 15 tahun lalu, kami telah membantu lebih 20 keluarga membina semula kehidupan mereka, dan dengan kerjasama rakan strategik, kami akan terus memperluaskan jaringan kami di dalam komuniti setempat”.

Bermula di Seremban 2, program ini dijalankan di seluruh kawasan operasi IJM Land termasuk di Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor, Sabah dan Sarawak. Dengan penglibatan subkontraktor, pembekal dan rakan tempatan, IJM Land memperkukuhkan jaringan kerjasama demi menyediakan kediaman yang eksklusif dan kondusif.

“Impian kami impian kami adalah untuk memastikan rakyat malaysia dapat memiliki rumah yang bukan sahaja selamat tetapi juga selesa,” tambah Datuk Chai.

Mengenai IJM Land Berhad

Dengan lebih 30 tahun, IJM Land dikenali melalui pembangunan hartanah yang memenangi pelbagai anugerah di Malaysia dan antarabangsa. Portfolio IJM Land merangkumi projek kediaman, komersial dan pelaburan yang bersepadu, termasuk pembangunan mercu tanda seperti Royal Mint Gardens di London.

Melalui pendekatan yang mementingkan kelestarian, inovasi dan kecemerlangan reka bentuk, IJM Land terus menjadi penanda aras dalam industri hartanah, sambil membawa impak positif kepada masyarakat dan ekonomi setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *