ISU PENAMATAN PERKHIDMATAN KETUA PENGARAH TOURISM MALAYSIA
Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
(KPPLPPM / Kesatuan Pekerja Tourism Malaysia) melalui surat yang telah tular di
media sosial amat terkejut dengan berita penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah
Tourism Malaysia.
Berpegang pada prinsip tatakelola yang baik serta kebajikan seseorang yang
berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu ini merupakan satu perkara yang
serius terhadap penjawat awam kerana berdasarkan tarikh surat dikeluarkan serta
tarikh kuatkuasa surat iaitu lima (5) hari adalah amat singkat sekaligus mengundang
imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi
situasi yang sama. Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu ada
satu tempoh masa yang lebih adil diberikan agar keharmonian dikekalkan bukan
sahaja di dalam agensi malahan dikalangan penggiat industri.
Perkara ini jelas menimbulkan kegusaran sebagaimana kenyataan-kenyataan
yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan juga penggiat
industri yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pekerja-pekerja di sektor
perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir 3 juta pekerja. Persoalan yang
diutarakan oleh pihak industri selaku pemegang taruh wajar diberi penjelasan.