ISU RUMAH IBADAT: PENTADBIR KUMPULAN FB DIPANGGIL, 106 KANDUNGAN DITURUNKAN META

  • April 2, 2025
  • 1 min read
ISU RUMAH IBADAT: PENTADBIR KUMPULAN FB DIPANGGIL, 106 KANDUNGAN DITURUNKAN META

CYBERJAYA, 2 April 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) telah mengambil keterangan dua (2) individu yang berperanan sebagai
pentadbir utama sebuah Kumpulan Facebook (FB), yang digunakan sebagai
platform utama bagi penyebaran maklumat dan komentar yang dipercayai
boleh membangkitkan ketegangan antara kaum dan agama, serta seterusnya
mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Sesi rakaman percakapan telah dijalankan pada pukul 9.00 malam, di Ibu Pejabat
MCMC Cyberjaya pada 27 Mac 2025 lalu selepas menerima aduan daripada
orang ramai. Sebuah telefon bimbit dan kad SIM telah disita bagi tujuan
pembuktian kes.

Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
[Akta 588] dan sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman
denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua (2) tahun
atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC telah mengemukakan 110 permohonan
kepada Meta bagi menurunkan kandungan yang bersifat perkauman dalam
kumpulan FB tersebut. Daripada 110 permohonan yang dikemukakan, Facebook
mendapati bahawa 106 kandungan telah melanggar Piawaian Komuniti
Facebook dan diturunkan.

MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan
rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan
yang boleh mencetuskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama.

Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh
menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *