Jadikan Sambutan Aidilfitri Malaysia MADANI Simbol Kesatuan Rakyat
Syukur kerana umat Islam telah pun berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini dan diharap latihan selama sebulan ini mampu membina kekuatan dalam diri.
Manakala 1 Syawal yang akan menjelma tidak lama lagi menjadi keraian kepada mereka yang benar-benar menghayati maksud kesabaran dan merayakan kemenangan yang didambakan.
Pelbagai usaha dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merelaisasikan konsep Malaysia Madani termasuk tujuh inisiatif kepada rakyat yang sedang dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Bermula dengan tol Rahmah Malaysia MADANI percuma selama empat hari sejak semalam di kesemua 33 syarikat konsesi lebuhraya, rakyat Malaysia bersama-sama pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan meraikan Aidilfitri lebih ceria apabila kos perjalanan dapat dikurangkan.
Kemudian diikuti dengan program Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri Malaysia MADANI.
Inisiatif itu memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga dan dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia membabitkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang Ramadan dan Syawal ini.
Malah kesudian Perdana Menteri sendiri turun ke negeri-negeri bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI Bersama YAB Perdana Menteri yang akan diadakan di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tahun ini juga merupakan simbol kesatuan rakyat menyantuni mereka yang tidak pernah dilakukan pemimpin sebelum ini.
Tidak cukup untuk saya perjelaskan satu-persatu inisiatif yang telah diumumkan namun saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri Malaysia MADANI tahun ini sebagai bukti kesatuan rakyat majmuk yang hidup dalam suasana penuh harmoni dan rahmah sepanjang masa.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang meraikannya dan semoga semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan selamat pulang ke ibu kota bagi meneruskan agenda Malaysia MADANI.
Andre Lai
Naib Pengerusi MPN KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju