Jangan ‘berdiam diri’ isu pencerobohan ruang udara dan Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗬𝗮𝗮𝗸𝘂𝗯 𝗔𝗿𝗯𝗶 antara pemimpin yang menyatakan kebimbangan berhubung isu pencerobohan Laut China Selatan dan menggesa Wisma Putra bertindak tegas dalam menanganinya secepat mungkin.
Katanya, Malaysia dilihat mengambil sikap ‘berdiam diri’ dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara.
“Walaupun ramai wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang lantang membangkitkan mengenai isu itu namun kerajaan khasnya Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan masih gagal menyelesaikan krisis tersebut daripada terus berlarutan.
“Krisis itu sudah tidak boleh dipandang remeh hanya kerana mahu ‘menjaga hati’ segelintir pihak sedangkan perbuatan China jelas sekali mencabul kepentingan dan kedaulatan negara.
“Saya rasa ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?
“Sejak 2021 lagi sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Tindak-tanduk ini juga sebenarnya boleh gugat perkapalan serta aktiviti nelayan.
Katanya, sampai bila harus berdiam diri sedangkan sudah menjadi kewajipan untuk kerajaan memikirkan penyelesaian terhadap tentang kesengsaraan rakyat.
Jelas Yaakub Arbi, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan segala bentuk resolusi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik COVID-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis ini yang cukup membimbangkan.
“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita? Soal beliau.
Jelas beliau lagi, hakikatnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian itu kerana Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan.
Ujarnya, pendirian negara-negara ASEAN adalah jelas terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.
“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketentaraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya di lihat seperti Zon Perang.
“Hakikatnya semua perlu saling hormat menghormati kedaulatan negara di rantau ini dan janganlah ambil kesempatan kerana sememangnya rantau Laut China Selatan adalah sentiasa dalam keadaan aman dan selamat bagi kapal nelayan sebelum ini,” tegasnya.
Menurutnya lagi, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 memberi amaran supaya Malaysia lebih berwaspada berikutan 89 pencerobohan dikesan dalam tempoh 2016 hingga 2019.