KEADILAN WANGSA MAJU ANGKAT MARTABAT FILEM ANWAR: THE UNTOLD STORY

  • June 1, 2023
  • 4 min read
KEADILAN WANGSA MAJU ANGKAT MARTABAT FILEM ANWAR: THE UNTOLD STORY

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Seramai 50 anggota KEADILAN Cabang Wangsa Maju rata-rata berpuas hati dengan jalan penceritaan mengesankan selain menyahut saranan untuk menonton Anwar: The Untold Story di GSC Setapak Central di sini pada Rabu 31 Mei 2023.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, beliau mengambil inisiatif ini atas dasar kesedaran memberi pendedahan dan mengangkat martabat filem biopik ini berdasarkan kisah sebenar yang dilalui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada anggota cabang selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota pelbagai peringkat dan kaum.

“Saya berterima kasih kepada para pengamal media yang sudi membuat liputan akhbar tentang aktiviti ini. Dalam sidang media yang singkat, saya diminta untuk memberi komen berkenaan dengan filem arahan Viva Westi ini.

“Saya melihat filem ini daripada perspektif yang berlainan. Meskipun ia ini berkaitan dengan Perdana Menteri, filem ini sebenarnya satu kejayaan dalam perkembangan industri perfileman negara. Boleh dibayangkan, setiap adegan dalam filem adalah berdasarkan kisah benar dan penggambaran pada masa itu dalam keadaan pandemik yang masih memuncak; bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan,” katanya.

Andre Lai ketika diminta mengulas inisiatif KEADILAN Cabang Wangsa Maju mengangkat filem berkisar tentang perjuangan Perdana Menteri sebelum sesi tayangan Anwar: The Untold Story malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, keberanian Zunar menggarap dan menjadi penerbit filem ini adalah sesuatu yang patut dicontohi dan dibanggakan.

“Saya mengingatkan bahawa kami sepatutnya bangga dengan perkembangan filem negara dengan adanya filem genre ‘biopik’ seperti ini. Bagi mereka yang pernah melalui zaman reformasi, pastinya akan mengimbau kembali perasaan nostalgia kerana kandungan filem ini mempunyai kejituan yang tinggi berdasarkan insiden sebenar yang dialami Anwar di dalam lokap Bukit Aman.

“Sebenarnya, saya terpaksa menyertai satu program upacara kebudayaan pada masa yang sama. Meskipun saya tidak menyertai mereka ke dalam pawagam, saya bangga kerana kehadiran mereka memartabatkan kesetiaan KEADILAN Wangsa Maju kepada pimpinan Presiden parti merangkap Perdana Menteri Malaysia.

“Dan sebelum mereka masuk ke pawagam, Timbalan Ketua KEADILAN Wangsa Maju Mustafa Ghazanfar mengetuai rombongan untuk bergambar dengan gaya ikonik angkat tangan Dato Seri Anwar Ibrahim seperti dalam poster filem. Sekali lagi, tahniah kepada semua dan terima kasih kepada Azmee Naib Ketua Cabang atas usaha pengelolaan aktiviti ini,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Azmee Abd Rahim ketika diminta mengulas filem berkenaan menyifatkan ia memaparkan intergriti sebenar seorang tokoh bernama Anwar Ibrahim.

“Jalan cerita filem ini memaparkan kejadian sebenar di sebalik peristiwa 2 September 1998 waktu beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno.

“Sedangkan Anwar seorang pemimpin berjawatan Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan sedemikian rupanya pada masa itu apatah lagi kita sebagai rakyat biasa. Kita dipersembahkan susur galur gejala rasuah dan perilaku hasad dengki dalam segelintir pimpinan terdahulu yang rakus menjarah hasil mahsul khanazah negara demi kepentingan diri, keluarga dan kroni.

Naib Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Azmee Abd Rahim turut mengulas filem Anwar: The Untold Story selepas tayangan di GSC Setapak Central malam tadi. “Filem sebegini harus ditonton oleh masyarakat yang selama ini ditipu dan diperdaya justeru wajar golongan anak muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara agar mereka boleh menjadi pemimpin yang bertanggungjawab pada semua masyarakat dalam negara ini di masa depan.

“Syabas kepada Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju Tuan Andre Lai yang mengaturkan program baik sebegini agar semua pimpinan cabang, wanita dan AMK dapat refresh semula sejarah sebenar perjuangan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melawan rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Manakala Setiausaha Wanita KEADILAN Cabang Wangsa Maju, Ezy Ezlyana Ostman pula memberikan pandangannya selepas menonton filem berdurasi 120 minit itu malam tadi.

“Selepas menonton, filem bersama kumpulan Cabang KEADILAN Wangsa Maju, memang saya rasa ia adalah filem yang bagus untuk ditonton. Pertama sekali, tahniah kepada pengarah dan team produksi kerana berani menghasilkan filem genre fakta tentang perjuangan sebenar bagaimana PMX semasa kita menongkah arus melawan rasuah sebelum ini.

Setiausaha Wanita KEADILAN Cabang Wangsa Maju, Ezy Ezlyana Ostman mengajak anak-anak muda supaya menghayati intipati penceritaan filem Anwar: The Untold Story kerana mereka merupakan penentu masa depan negara.

“Ya, beliau bukan hanya istiqamah memperjuangkan rasuah secara total tetapi turut menolak unsur-unsur rasuah dan saya sangat percaya bahawa sehingga kini objektif utama beliau adalah untuk menghapuskan kroni dan para perasuah ini di negara kita.

“Nasihat saya kepada anak-anak muda yang lahir dari tahun 2000 dan ke atas terutamanya pelajar dari universiti atau kolej, anda perlu menonton filem ini tetapi sebelum melakukan itu, sila buat kajian tentang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan anda akan mendapat gambaran yang lebih jelas apabila menonton filem ini.

“Saya pasti anda akan menikmati dan akan mempunyai semangat untuk memerangi rasuah ini di mana-mana peringkat. Tambahan pula, anda adalah penentu masa depan negara yang akan mencorakkan keadaan Malaysia dalam 10-20 tahun akan datang.

“Semuanya bermula dengan diri kita sendiri, agar kita mencapai sebuah negara yang hebat,” jelasnya bersemangat.

Difahamkan kos tiket tayangan filem malam tadi tidak dibiayai sesiapa sebagai salah satu usaha murni KEADILAN Cabang Wangsa Maju dalam menyokong industri perfileman negara.

Artikel asal:
https://andrelai.com/sidang-media-keadilan-wangsa-maju-di-tayangan-anwar-the-untold-story/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *