KEMASA JADI CONTOH KOPERASI EMAS BERJAYA
![KEMASA JADI CONTOH KOPERASI EMAS BERJAYA](https://utvmediamalaysia.com/wp-content/uploads/2024/02/IMG-20240216-WA0037-770x470.jpg)
Koperasi digalakkan untuk menceburi perniagaan emas yang mampu memberikan keuntungan tinggi kerana minat orang ramai terhadap emas tidak pernah pudar walaupun berlaku turun naik harga.
Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, perniagaan tersebut mampu bersaing dengan mana-mana syarikat besar yang lain, selain memberi pulangan lumayan kepada anggota koperasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
![](https://utvmediamalaysia.com/wp-content/uploads/2024/02/IMG-20240216-WA0026-1024x682.jpg)
Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan ke Koperasi Eksklusif Emas Anuar Berhad (KEMASA) pada 15 Februari 2023 di Perda, Pulau Pinang.
Tambah beliau lagi, kejayaan KEMASA dalam perniagaan emas boleh menjadi contoh kepada koperasi lain untuk turut serta dalam perniagaan itu.
Naib Pengerusi KEMASA, Haji Mohd Khurulanuar Mhamad Noor berkata, koperasi tersebut telah ditubuhkan oleh pengurusan Kumpulan Emas Anuar (KEA) untuk meningkatkan taraf ekonomi anggotanya.
“KEMASA merancang untuk menjalankan perniagaan barang kemas dan emas dalam skala yang lebih besar dan bakal merangkumi seluruh proses perniagaan ini seperti kedai emas, pengedar emas, kilang emas, peti simpanan emas, pajak gadai dan bank emas. Ini adalah untuk mencapai keuntungan maksimum kepada koperasi,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Mohd Jamil Othman dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Zakaria Othman.