Kembalikan semangat kibaran Jalur Gemilang seperti tahun 80-an dan 90-an

  • August 1, 2022
  • 2 min read
Kembalikan semangat kibaran Jalur Gemilang seperti tahun 80-an dan 90-an

PETALING JAYA, 1 OGOS 2022 – Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam diri rakyat tanpa mengira masa, malah tindakan itu seharusnya lebih meriah dengan ketibaan bulan kemerdekaan bermula pada 1 Ogos 2022 sebelum menjelang Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos, Rabu ini.

Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dengan kerjasama RS Park Sdn Bhd dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhanan Malaysia (IKHLAS) mengambil langkah awal untuk mewujudkan semangat patriotik yang semakin terhakis dalam kalangan dalam rakyat Malaysia sempena bulan kemerdekaan dengan mengedarkan 300 bendera Jalur Gemilang secara percuma kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal di hadapan kompleks Digital Mall, Petaling Jaya, hari ini.

Presiden PMSP, Dato’ Seri Ramesh Rao berkata, beliau ingin mengembalikan semangat menyambut sambutan kemerdekaan seperti tahun 80-an dan 90-an, perkara yang akan dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira menyambut kemerdekaan iaitu dengan mengibarkan bendera negara di setiap tempat.

“Pada waktu zaman itu, setiap tempat seperti rumah, kenderaan , bangunan-bangunan pejabat dan gedung-gedung perniagaan begitu bersemangat mengibarkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dengan bangga, jadi kami ingin kekalkan momentum semangat kemerdekaan serta ingin menghapus rasa malu dalam kalangan rakyat.

Turut hadir, Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah dan Pengerusi Eksekutif RS Park Sdn Bhd, Datuk Siva.

Katanya, kibaran bendera negara ‘Jalur Gemilang’ ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat keseluruhannya, inilah antara tanda rasa cinta kita kepada Malaysia yang akan meraikan kemerdekaan pada 31 Ogos ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata, saban tahun semakin hambar semangat patriotik rakyat Malaysia dalam pengibaran Jalur Gemilang, jika kita tengok ada segelintir yang enggan menerima bendera Jalur Gemilang ini, walaupun diberikan secara percuma.

“Kita tengok tadi ada yang enggan ambil bendera walaupun secara percuma, sedangkan mereka duduk dan tinggal di Malaysia.

“Semangat patriotik semakin pudar, ini kerana retorik pembangkang seperti DAP yang telah menghasut rakyat Malaysia seperti ‘Malaysia bakal bankrap’, hasut benci negara, tidak menghormati sultan, tidak galak kaum Cina masuk polis dan tentera, ini adalah salah satu punca kebencian, sedangkan ‘you’ hidup dan tinggal di Malaysia, jadi hormatilah negara Malaysia..,”tegasnya.

“Kami bercadang supaya pihak Majlis Perbandaran (PBT) melakukan ketetapan mengibarkan bendera pada bulan kemerdekaan kepada setiap kedai-kedai supaya mereka lebih bersemangat serta menjadi contoh kepada anak-anak muda.

“Marilah kita sama-sama menyemarakkan semangat keharmonian dan sekali gus terus bertekad memelihara negara untuk masa hadapan, Kibarkanlah bendera kita,” katanya yang akan mengedarkan baki 1,000 Jalur Gemilang di beberapa lokasi seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *