KEMBALINYA DUO AF8! ADIRA & SHAHIR LANCAR SINGLE DUET EPIK “HANYA KAMU”

  • December 11, 2025
  • 2 min read
KEMBALINYA DUO AF8! ADIRA & SHAHIR LANCAR SINGLE DUET EPIK “HANYA KAMU”

Putrajaya, 5 Disember 2025 – Industri muzik tanah air kembali hangat dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Hanya Kamu”, hasil gabungan epik dua bintang popular, Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi. Kolaborasi ini menjadi detik “reunion” paling bermakna selepas kemunculan mereka dalam program fenomena Akademi Fantasia 8 (AF8) pada tahun 2010, lebih istimewa dengan sokongan penuh bekas pengetua mereka, Dato’ Norman Abdul Halim.

“Hanya Kamu” merupakan karya ciptaan dan terbitan penuh Dato’ Norman Abdul Halim, menampilkan sentuhan produksi yang segar, moden dan menyentuh jiwa. Lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema filem fantasi romantik yang dinantikan ramai, “Duyung: Legenda Aurora”, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 25 Disember 2025.

Menurut Dato’ Norman, idea menggandingkan kedua-dua penyanyi itu hadir selepas beliau memikirkan keperluan produksi lagu yang memerlukan paduan vokal duet yang kuat dan penuh emosi.

“Individu pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST. Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu,” jelas beliau.

Mengangkat tema percintaan dua insan, “Hanya Kamu” menggambarkan hubungan penuh kasih sayang yang tidak terlepas daripada ujian. Walaupun saling mencintai, pasangan dalam kisah ini tetap berdepan cabaran seperti mana-mana hubungan lain. Kekuatan lagu ini terletak pada mesejnya bahawa cinta sejati menuntut kesabaran, pengorbanan dan tekad untuk terus bersama walau apa rintangannya.

Adira menyifatkan kolaborasi ini sebagai momen yang sangat bermakna:

“Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet bersama kecuali ketika pertandingan AF. Saya tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia benar-benar mengembalikan nostalgia ketika saya, Shahir dan Cikgu Norman bersama dalam rancangan itu 15 tahun yang lalu.”

Sementara itu, Shahir turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang mendalami genre R&B, sesuatu yang belum pernah dicubanya sebelum ini.

“Lagu dan lirik ‘Hanya Kamu’ sangat menyentuh hati. Saya berharap pendengar akan menerima lagu ini, terutama apabila filem ‘Duyung: Legenda Aurora’ ditayangkan nanti.”

Dengan vokal harmoni Adira dan Shahir yang serasi, melodi yang mendalam serta garapan produksi yang penuh jiwa, “Hanya Kamu” dijangka menjadi antara lagu duet paling berkesan dan tular pada tahun ini.

Lagu ini telah dipersembahkan secara eksklusif di acara SELBIZ 2025 di Shah Alam Convention Centre baru-baru ini. “Hanya Kamu” diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn Bhd dan boleh distrim di semua platform digital mulai 5 Disember 2025, manakala video muzik rasmi pula akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music pada jam 8 malam hari yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *