Kementerian Digital Raih Pengiktirafan Antarabangsa di Festival of Innovation 2026

PUTRAJAYA, 6 Mac 2026 – Kementerian Digital mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa apabila meraih beberapa pengiktirafan di Festival of Innovation 2026 anjuran GovInsider yang berlangsung di Singapura.

Pengiktirafan tersebut diperoleh melalui agensinya, Jabatan Digital Negara (JDN) dan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), sekali gus memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) serta mempercepat transformasi digital sektor awam.


Dalam pertandingan yang menghimpunkan 270 penyertaan daripada 120 agensi kerajaan di seluruh dunia, JDN berjaya memenangi Inter-Agency Award menerusi inisiatif MyGovCloud@PDSA, sebuah projek yang menyelaraskan infrastruktur awan merentas agensi kerajaan.


Selain itu, NAIO dan JDN turut menerima Pengiktirafan Khas AI-Ready Award melalui inisiatif AI@Works yang memfokuskan kesiapsiagaan sektor awam dalam mengadaptasi teknologi AI secara beretika.


JDN juga menerima Pengiktirafan Khas Digital Government Award menerusi platform Malaysia Government Central Data Exchange (MyGDX) yang memperkasa perkongsian data nasional secara bersepadu.


Dalam perkembangan sama, NAIO turut disenaraikan sebagai finalis bagi kategori Transformative Agency of the Year Award, sekali gus meletakkan agensi di bawah Kementerian Digital itu sebaris dengan organisasi inovasi terbaik dunia.


Menurut Kementerian Digital, pencapaian tersebut selari dengan aspirasi Ke Arah Negara AI 2030, yang memberi tumpuan kepada tadbir urus teknologi secara beretika, pembangunan kapasiti bakat digital serta pertumbuhan ekonomi melalui inovasi data dan AI.


Festival of Innovation merupakan platform global yang menghimpunkan pemimpin kerajaan dan pakar teknologi bagi berkongsi amalan terbaik dalam memacu inovasi sektor awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *