KEMENTERIAN DIGITAL SALUR BANTUAN KEPADA MANGSA LETUPAN PAIP GAS PUTRA HEIGHTS

  • April 4, 2025
  • 2 min read
KEMENTERIAN DIGITAL SALUR BANTUAN KEPADA MANGSA LETUPAN PAIP GAS PUTRA HEIGHTS

Kementerian Digital Salur Bantuan Kepada Mangsa Letupan Paip Gas di Putra Heights

Putra Heights, 4 April 2025 – Kementerian Digital akan menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dalam lawatannya ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights pagi tadi, dimaklumkan bahawa ramai mangsa kehilangan atau mengalami kerosakan peranti digital mereka dalam insiden tersebut.

Sehubungan itu, Kementerian Digital akan menyediakan 100 unit komputer riba, 100 unit tablet, 100 unit telefon pintar, dan 500 unit bank kuasa (power bank) kepada mereka yang memerlukan. Mangsa boleh membuat permohonan bagi mendapatkan peranti ini mulai hari ini melalui Pusat Khidmat ADUN Kota Kemuning, YB S. Preakas.

Selain itu, MyDigital Corporation—agensi di bawah Kementerian Digital—akan bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) serta Pejabat Menteri Besar Selangor untuk menyediakan platform dalam talian. Platform ini bertujuan memastikan mangsa mendapat maklumat yang jelas dan kemas kini tepat mengenai bantuan serta perkembangan terkini insiden tersebut.

Gobind Singh Deo turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu mangsa sejak kejadian berlaku.

“Kementerian Digital dan agensi-agensinya akan terus bekerjasama dengan mangsa dalam insiden ini. Kami berharap mereka yang cedera akan segera pulih dan mereka yang mengalami kerugian akan menerima bantuan yang diperlukan bagi menghadapi masa sukar ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *