KEMENTERIAN KOMUNIKASI PENAFIAN PEMBATALAN KONSERT “(G)I-DLE & BAMBAM LIVE IN MALAYSIA”DISEBABKAN OLEH PENOLAKAN JAWATANKUASA PUSPAL,KEMENTERIAN KOMUNIKASI

5 JUN 2025 PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi (KK) menerusi Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), ingin merujuk kepada kenyataan dan ulasan berkaitan pembatalan Konsert “(G)I-DLE &
Bambam Live in Malaysia” yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2025 kerana
tidak mendapat kelulusan daripada JK-PUSPAL yang diterbitkan dalam akhbar
tempatan pada 1 Jun 2025.
JK-PUSPAL ingin menegaskan bahawa dakwaan pembatalan disebabkan tidak
mendapat kelulusan daripada JK-PUSPAL adalah tidak benar sama sekali. Mengikut
rekod, kelulusan prapermohonan bagi penganjuran Konsert “(G)I-DLE & Bambam
Live in Malaysia” telah diperoleh pada 28 April 2025.
Keputusan pembatalan konsert ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak
penganjur setelah mengambil kira justifikasi dan kepentingan semua pihak. Dalam hal
ini, pihak penganjur perlu membuat persiapan rapi termasuk mendapat kelulusan awal
daripada pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat sebelum menganjurkan suatu
konsert melibatkan artis antarabangsa ternama seumpama ini seperti yang tertakluk
dalam Garis Panduan PUSPAL (GPP).
Maklumat lanjut berkaitan GPP boleh didapati dengan melayari laman web
(https://portalpuspal.komunikasi.gov.my/garis-panduan-2/) atau menghubungi
PUSPAL di talian 03-89115356/5384 atau e-mel puspal@komunikasi.gov.my.