Saifuddin Nasution di Makkah: Mendoakan Kesejahteraan Rakyat Malaysia

MEKAH, 7 Jun – Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji, sempena musim Aidiladha tahun ini.
Dalam suasana penuh ketundukan kepada Ilahi, beliau turut mengambil kesempatan untuk mendoakan keamanan, kesejahteraan dan perpaduan buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada para petugas keselamatan dan warga Kementerian Dalam Negeri yang terus menjalankan amanah semasa musim perayaan.
“Ibadah ini bukan sahaja menjadi penyempurnaan rukun Islam, tetapi satu pengabdian sepenuh hati kepada Allah SWT. Saya mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi rahmat dan dijauhkan dari segala perpecahan serta kemudaratan,” katanya menerusi kenyataan ringkas dari Mekah.
Ibadah haji yang dilaksanakan oleh beliau juga membawa simbolik besar terhadap semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam perjuangan untuk agama, rakyat dan negara.
Beliau dijadualkan pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan seluruh rukun haji bersama jemaah Malaysia.