PERKESO Lancar Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Untuk Golongan Neurodivergen

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pertubuhan Keselamatan Sosial melancarkan Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen sebagai usaha memperkukuh penyertaan tenaga kerja secara inklusif khususnya melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, garis panduan tersebut diyakini mampu memangkin laluan kerjaya berasaskan kemahiran selain menangani isu guna tenaga tidak penuh atau underemployment dalam komuniti OKU pembelajaran dan neurodivergen.

Menurut beliau, isu tersebut masih menjadi cabaran besar kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan memerlukan intervensi segera melibatkan pelbagai pihak.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan United Nations Development Programme.

Menurut Khairul Firdaus, berdasarkan Global Disability Inclusion Report 2025, isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan OKU boleh memberi kesan terhadap produktiviti negara dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Golongan OKU termasuk komuniti neurodivergen sebenarnya aktif mencari pekerjaan. Data portal MYFutureJobs menunjukkan seramai 5,482 pencari kerja OKU neurodivergen telah berdaftar setakat ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran utama bukan terletak pada keupayaan individu neurodivergen, sebaliknya pada kesiapsiagaan pasaran buruh dalam menyediakan sokongan bersesuaian termasuk penyesuaian tempat kerja, fleksibiliti dan sistem sokongan lebih tersusun.

“Peranan kerajaan hari ini melangkaui penyediaan peluang pekerjaan semata-mata. Kita sedang membina ekosistem pekerjaan yang inklusif dan responsif,” katanya.

Khairul Firdaus berkata, garis panduan tersebut merupakan yang pertama diwujudkan di Malaysia dan bakal menjadi penanda aras kebangsaan dalam pembangunan dasar serta program pekerjaan yang lebih inklusif kepada golongan OKU khususnya komuniti neurodivergen.Menurut beliau, golongan neurodivergen tidak wajar dilihat sekadar sebagai komuniti yang memerlukan bantuan, tetapi sebagai aset negara yang mempunyai potensi besar dalam sektor berimpak tinggi.Di Malaysia, dianggarkan kira-kira 333,474 individu terdiri daripada OKU pembelajaran dengan sebahagian besar berada dalam spektrum neurodivergen.

Tambah beliau, pendekatan strategik yang diperkenalkan memberi penekanan kepada pembangunan dasar berasaskan bukti, intervensi perkhidmatan bersasar, pemadanan kerjaya berasaskan data serta kerjasama strategik bersama badan antarabangsa.“Inilah pendekatan yang kita ambil, bukan sekadar menyediakan akses pekerjaan tetapi membina sistem sokongan menyeluruh yang membolehkan golongan ini berkembang dalam kerjaya mereka,” katanya.

PERKESO turut memaklumkan bahawa inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam memperkasa pendidikan, pekerjaan dan pengurangan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *