KOIRAMA & IRAMA Anjur Makan Malam Khas “Saya Anak Malaysia”, Hargai Jasa Dr Sam Rasputin

KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2025 – Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) dan Persatuan IRAMA telah menganjurkan Makan Malam “Saya Anak Malaysia” bagi menghargai sumbangan besar ikon seni, dakwah dan patriotisme, Ayahanda Dr. Sam Rasputin, pencipta lagu patriotik legenda, Saya Anak Malaysia.

Majlis yang diadakan pada malam kemerdekaan ini merupakan inisiatif Presiden KOIRAMA dan IRAMA, Ayob Abd Majid, sebagai tanda penghargaan kepada Dr. Sam yang telah mewakafkan bakat dan jasanya untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lagu Saya Anak Malaysia yang dinyanyikan oleh Salim Ibrahim, atau lebih mesra dengan nama Dr. Sam, kekal segar dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat sejak 39 tahun lalu. Lagu ciptaan komposer tersohor Datuk M. Nasir dengan lirik oleh S. Amin Shahab pada 1986 itu telah menjadi lagu rasmi penyatuan rakyat berbilang kaum, berkumandang setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

Ayob IRAMA

Dalam ucapannya, Ayob Abd Majid menekankan pentingnya menghargai jasa seniman negara ketika mereka masih hidup.

“Saya pernah mencadangkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, suatu program rasmi kerajaan untuk menghargai jasa Dr. Sam. Beliau sudah terbukti berjasa dan wajar dianugerahkan pengiktirafan tertinggi, termasuk gelaran Datuk,” katanya.

Dr. Sam yang hadir pada malam itu menyatakan rasa terharu dan syukur atas sambutan hangat terhadap lagunya.

Saya terharu melihat bukan orang Melayu sahaja boleh menyanyikan lagu ini, tetapi masyarakat Cina dan India juga turut serta. Bila dengar lagu ini, semua orang rasa mereka sebahagian daripada keluarga besar bernama Malaysia,” katanya dengan senyuman.

Beliau berkongsi kenangan ketika lagu itu pertama kali dipersembahkan di Auditorium RTM, di mana seisi dewan bergema dengan nyanyian penuh semangat. Kekuatan lagu ini terletak pada melodinya yang ringkas dan liriknya yang mudah diingati, merentasi sempadan generasi dan kaum.

Selain Saya Anak Malaysia, Dr. Sam juga terkenal dengan lagu-lagu seperti Abu Nawas, Sayang Oh Sayang, Semarak Merdeka dan Sinar Harapan. Selepas bergiat aktif dalam industri seni, beliau kini lebih menumpukan kepada pengajian agama dan dakwah.

Majlis yang penuh bermakna itu turut dihadiri oleh penyanyi Mel Ex Wings, Iwan Syahman, dan Kodan Raja Lawak, menjadikan ia bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi juga wadah mengenang jasa semua seniman tanah air yang menyumbang kepada negara melalui seni, budaya dan dakwah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *