KONSESI PENGURUSAN, OPERASI DAN PENYENGGARAAN MENARA KL

  • March 31, 2025
  • 2 min read
KONSESI PENGURUSAN, OPERASI DAN PENYENGGARAAN MENARA KL

PUTRAJAYA, 31 Mac 2025 – Kementerian Komunikasi sedang meneliti
perkembangan terkini susulan isu pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur yang dibuat menurut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani oleh Kerajaan.

Kementerian Komunikasi ingin menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah
milik kerajaan serta pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan
pengurusan dan operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (request for proposal – RFP iaitu suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP)) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri
(UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah
memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.

Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak Kerajaan pada 29 Mei 2024.
Pihak kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi
yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) lanjutan daripada
pelantikan syarikat konsesi baharu ini. Oleh itu, pihak Kerajaan melalui kementerian
ini akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah
selaras dengan proses undang-undang.

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian
memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar.
Semua pihak yang terlibat termasuk orang ramai dinasihatkan agar tidak
mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu proses
perundangan yang sedang berjalan.

Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan
memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya.

Dikeluarkan oleh:
Kementerian Komunikasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *