KPDN TURUN PADANG HARI PERTAMA SHMMP DEEPAVALI 2023
KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER 2023 – Yang Berhormat Senator Puan Hajah
Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos
Sara Hidup hari ini telah melakukan satu tinjauan sempena hari pertama
pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali
2023 yang diadakan di Pasar Raya Lulu Hypermarket, Kuala Lumpur.
- Lawatan pada hari ini bertujuan untuk membuat tinjauan sempena
pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 yang
berkuat kuasa mulai hari ini 9 November sehingga 15 November 2023.
- Pada masa yang sama, lawatan ini juga bagi memastikan semua pihak dapat mematuhi
harga-harga yang telah ditetapkan di bawah SHMMP Deepavali 2023.
- Seperti yang sedia maklum, tempoh masa pelaksanaan SHMMP Deepavali
2023 adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, sehari semasa
perayaan dan 3 hari selepas perayaan. Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan
menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan
dijangka akan meningkat menjelang perayaan, semasa perayaan dan beberapa
hari selepas perayaan. - Seperti yang diumumkan oleh KPDN pada 6 November yang lalu, selain
daripada barang-barang di bawah harga kawalan maksimum sedia ada,
Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 8 jenis barangan yang akan dikawal
di bawah Skim ini. Barangan yang terlibat di bawah Skim adalah, bawang merah
besar import, bawang merah kecil (india) tidak termasuk ros, cili merah,
daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (australia), kelapa biji
(harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga
maksimum di peringkat runcit sahaja), dan tomato. - Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian
mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua
pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga.
- Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan
ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran,
kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran
seperti ekonomi global. - Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi
Kerajaan dan pemain-pemain industri. - SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga
dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Harga maksimum yang telah diwartakan
bagi SHMMP Deepavali 2023 di peringkat pemborong dan peruncit boleh
disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup di www.kpdn.gov.my. - Seramai 2,200 orang anggota Penguat Kuasa KPDN bersama-sama 900
Pegawai Pemantau Harga KPDN di seluruh negara telah ditugaskan di lokasilokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
Strategi ini membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di
mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan
penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan. - KPDN juga ingin memberikan amaran kepada semua peniaga bahawa
tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi
peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan
kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga
maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000
atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun
sehingga RM250,000;
(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu
bagi barangan harga terkawal:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau
dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun
sehingga RM10,000