Lebih 1,000 individu dapat kerja dan 10 peratus jawatan kosong dalam bidang bioteknologi

  • October 19, 2022
  • 2 min read
Lebih 1,000 individu dapat kerja dan 10 peratus jawatan kosong dalam bidang bioteknologi

AYER KEROH, MELAKA – Seramai 1,102 individu berjaya mendapat pekerjaan,
manakala 3,988 yang lain mara ke saringan temu duga peringkat seterusnya menerusi
Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung dari 14
hingga 16 Oktober 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.


Karnival yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini juga menyaksikan penglibatan seramai 42 majikan daripada pelbagai sektor dengan tawaran sebanyak 5,500 peluang pekerjaan dari dalam dan luar negeri Melaka.


Selain sambutan yang menggalakkan dengan hampir 6,500 pengunjung hadir ke karnival ini, keistimewaan jelajah karnival pada kali ini juga memperlihat penglibatan aktif majikan dalam sektor Bioteknologi yang menawarkan hampir 10 peratus peluang kerjaya daripada keseluruhan jawatan kosong di karnival tiga (3) hari tersebut.

Majikan lain yang turut serta termasuk daripada sektor awam, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), perkilangan, kewangan, peruncitan dan kesihatan.


Selain itu, PERKESO turut mengadakan sesi temu duga terbuka secara walk-in pada setiap minggu di semua pejabat PERKESO di seluruh negara dan secara harian di beberapa pejabat PERKESO utama seperti Putrajaya bagi membantu Keluarga Malaysia memperoleh pekerjaan dengan mudah dan cepat.


Bagi menarik lebih ramai majikan untuk menyertai temu duga terbuka ini, PERKESO
turut berbesar hati dan mengalu-alukan mereka yang mempunyai jawatan kosong
untuk hadir di mana-mana Pejabat PERKESO Negeri.

Di samping itu, para majikan juga disaran mendaftar dengan program JaminKerja-
Insentif Penggajian (JKIP) iaitu inisiatif Kerajaan di bawah Bajet 2022 untuk memberi
insentif kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja kepada kepada
golongan sasar seperti penganggur, golongan rentan seperti orang kelainan upaya
(OKU), bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur.

Insentif khas juga disediakan kepada majikan dalam sektor pelancongan yang membuat
pengambilan pekerja daripada golongan menganggur untuk sekurang–kurangnya dua
bulan.


Menerusi JKIP, seramai 300,000 Keluarga Malaysia disasarkan untuk dibantu
mendapat penempatan pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion. Justeru,
para majikan diseru untuk segera mendaftar demi memanfaatkan bantuan Kerajaan
ini yang menawarkan insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan
bagi setiap pekerja baharu.

Majikan boleh mendaftar di
https://jaminkerja.perkeso.gov.my sebelum permohonan ditutup pada 31 Disember 2022 ini.


Untuk maklumat lanjut dan terkini berkaitan karnival kerjaya, sesi temu duga dan
peluang-peluang pekerjaan baharu yang ditawarkan PERKESO, orang ramai boleh
merujuk laman media sosial rasmi PERKESO atau layari Portal MYFutureJobs
www.myfuturejobs.gov.my.

Buat majikan yang berminat untuk menyertai sesi temu duga harian di Pejabat PERKESO Negeri pula boleh hubungi nombor Careline
PERKESO 1-300-22-8000 atau e-mel kepada perkeso@perkeso.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published.