Lebih 1,500 meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Gombak 2024

GOMBAK, 24 Februari 2024 – Tahun Baru Cina, sudah semestinya dimeriahkan dengan Rumah Terbuka.
Pusat Khidmat Parlimen Gombak menganjurkan Rumah Terbuka di Melawati Convention Centre, Pusat Konvesyen MPAJ, yang dihadiri oleh lebih 1,500 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan lagi rumah Terbuka tersebut.
Rumah terbuka diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Gombak Setia, Hulu Kelang dan Sungai Tua itu bermula jam 7 malam hingga 11 malam sempena Cap Goh Mei, hari ke-15 perayaan Tahun Baru Cina.

Majlis turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berlangsung meriah dengan dihadiri masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur.
Amirudin turut menyempurnakan tradisi menggaul yee sang bersama tetamu kehormat dan tetamu jemputan sebagai simbolik penganjuran majlis.

Objektif penganjuran rumah terbuka bukan sahaja bagi meraikan masyarakat Tiong Hua dalam Parlimen Gombak malah mengeratkan hubungan dan keharmonian antara masyarakat.
Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Gombak itu juga antara lain bertujuan untuk memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum serta menyemarakkan semangat Malaysia Madani.
Amirudin dalam ucapannya berkata, pentadbirannya akan terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.
“Sebagai pemimpin bertanggungjawab memimpin negeri paling maju dan menjadi punca kepada kegiatan ekonomi negara, saya janji untuk mengekalkan keharmonian ini yang amat penting dalam sesebuah negara.
“Keharmonian ini juga demi memastikan rakyat hidup selesa, hormat menghormati dan saling memahami meski ada perbezaan tetapi ia bukan alasan punca perbalahan kaum yang mungkin boleh menyebabkan hancurnya negara yang sudah merdeka bertahun-tahun,” katanya.
Dalam majlis sama, Amirudin turut berkongsi kejayaan negeri itu yang merekodkan antara tiga negeri terbaik daripada pelaksanaan projek pembangunan.
“Menerusi Rancangan Malaysia ke-12, Selangor berjaya mencatat kesempurnaan pelaksanaan projek 99.6 peratus dan kita merupakan antara tiga negeri terbaik dan saya percaya ini merupakan tanda positif untuk negeri dan negara kita kembali pulih,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, disediakan jamukan makan malam serta persembahan menarik kepada pengunjung seperti tarian singa dan naga, orkestra Cina dari Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah San Yuk, Rawang, persembahan tarian kipas panjang dari MPOWERIN dan diakhiri dengan persembahan nyanyian oeh penyanyi jemputan.
Amiruddin turut menyampaikan angpau Tahun Baru Cina kepada kanak-kanak yang hadir pada program tersebut.

Pada majlis rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemimpin antaranya Penyelaras DUN Hulu Kelang, Juwariya Zulkifl; Orang Besar Daerah Gombak, YAD. Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood bin Pa’wan The; Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dr Ani Ahmad dan ramai lagi. – UTV