Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) 2024

  • October 27, 2024
  • 3 min read
Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) 2024

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2024 – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP)
dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan
Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan Majlis Anugerah
Pelajar Cemerlang YWP 2024, bertempat di Rumah Puspanita, Dewan Tun Dr Siti Hasmah, Kuala Lumpur.

Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan.

Majlis ini bertujuan untuk meraikan pelajar cemerlang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah mencapai kecemerlangan dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi
tahun 2023.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan semangat pelajar lain agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, Yang Berhormat Dr. Zaliha
menekankan bahawa pendidikan adalah asas penting dalam pembentukan
masyarakat yang adil dan berilmu. Pendidikan yang inklusif, serta memberi
peluang saksama kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang,
merupakan keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Yayasan Wilayah Persekutuan sejak ditubuhkan pada tahun 1986, kekal
istiqamah dan komited dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pendidikan untuk seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan.

Melalui majlis ini, bantuan sebanyak RM457,000.00 diagihkan kepada 429
pelajar yang menerima bantuan pendidikan merangkumi pelbagai kategori dan skim, seperti Anugerah Pelajar Cemerlang, Skim Biasiswa IPTA, Skim Bantuan Awal ke IPT, Skim Biasiswa Sekolah Menengah dan Dermasiswa Sekolah Menengah.


Objektif majlis ini juga adalah untuk :


a) Mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar


b) Meningkatkan motivasi dan semangat pelajar untuk terus berusaha
mencapai kejayaan


c) Menggalakkan persaingan sihat


d) Memberi inspirasi kepada pelajar lain


e) Menghargai sokongan ibubapa dan guru yang berjaya mendidik dan
membimbing pelajar ke arah kejayaan.

Majlis ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan tengah hari. YWP berharap kejayaan para pelajar ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi di masa hadapan.

Melangkah ke tahun 2025, YWP berhasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, NGO, dan individu prihatin dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.


Taraf hidup warga Wilayah Persekutuan dilihat sebagai cerminan kejayaan
Malaysia di peringkat antarabangsa.

Penghargaan khas diberikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas kerjasama erat dalam memastikan kelancaran penganjuran majlis ini, serta membantu dalam pemilihan pelajar cemerlang.

Terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa, penjaga, dan guru yang sentiasa memberikan sokongan moral dan membimbing anak-anak mereka menuju kejayaan.

Selain itu, para Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan kakitangan Yayasan
Wilayah Persekutuan turut dihargai atas dedikasi dan usaha mereka dalam
menjayakan majlis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *