Majlis Anugerah Pemenang RBC 2.0 Tahun 2024
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menganjurkan Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 Tahun 2024 di Hotel Marriott, Putrajaya pada 21 Januari 2025 (Selasa).
Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program RBC telah diperkenalkan sejak tahun 2012 melalui Government Transformation Programme (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21.
Program RBC ini merupakan sebuah program pertandingan rancangan perniagaan dalam kalangan usahawan belia di luar bandar yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan sehingga menjadi usahawan yang berjaya.
Justeru, Majlis ini diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada 45 usahawan belia desa yang telah berjaya menjadi penerima Hadiah Geran Perniagaan dalam Pertandingan RBC 2.0 dengan geran keseluruhan berjumlah RM15 juta.
Usahawan-usahawan tersebut adalah daripada empat (4) sektor perniagaan iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.
Pemilihan pemenang RBC 2.0 ini adalah berdasarkan prestasi dan potensi perniagaan masing-masing yang dilihat mampu mengubah landskap keusahawanan belia di luar bandar menerusi penciptaan peluang pekerjaan, dan melahirkan usahawan baru disamping meningkatkan pendapatan penduduk sekitar.