MARSHA MILAN TERIMA PENGHORMATAN‘AHLI DARJAH KINABALU’ DI ISTANA SERI KINABALU

  • October 20, 2024
  • 2 min read
MARSHA MILAN TERIMA PENGHORMATAN‘AHLI DARJAH KINABALU’ DI ISTANA SERI KINABALU

Pengiktirafan Terhadap Sumbangan Seni dan Budaya Sabah
Kuala Lumpur, 19 Oktober 2024 – Penyanyi dan selebriti popular yang berasal dari Sabah, Marsha
Milan, telah menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah, Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K), sempena
sambutan peringkat negeri Sabah bersempena dengan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah,
Tun Juhar Mahiruddin.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberi kepada individu yang telah
menyumbang secara signifikan dalam bidang masing-masing, dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya
dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Marsha, yang tidak menyangka akan menerima anugerah besar ini, meluahkan rasa syukur dan teruja
ketika ditemu bual. “Saya amat terharu dan berbesar hati dengan anugerah ini. Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya.

Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan
penuh rasa syukur.
Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di Sabah telah membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya. Meskipun
menghadapi cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan
bakatnya dan kini menjadi salah satu ikon dalam industri ini.

Menurut Marsha, “Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri
hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini.
Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat, dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka”. Sebagai seorang ikon, Marsha ingin menyampaikan mesej kepada bakat-bakat muda Sabah agar terus
mengejar impian mereka dengan dedikasi dan kegigihan. “Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus
pada bakat dan minat anda yang sebenar,” pesan Marsha.

Sepanjang perjalanan kariernya, Marsha telah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk mengambil
pelbagai peranan untuk terus relevan dalam industri. Namun, kegigihan dan semangatnya telah membawanya ke tahap yang tinggi. “Untuk kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, mengacara TV, menjadi emcee, hingga menyanyi sebagai vokalis latar. Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya. Tapi semuanya berbaloi, dan saya tidak pernah
menyesal,” jelas Marsha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *