MERAIKAN KECEMERLANGAN SENI KALIGRAFI HUICHUN DALAM KONTEKS ‘INI WARISAN KITA’
SERI KEMBANGAN, 20 Januari 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional Kali Pertama 2024. Seni Kaligrafi Huichun merupakan satu lagi keunikan dalam usaha memartabatkan seni, warisan, dan budaya negara yang kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada identiti dan kepelbagaian budaya Malaysia.
Penganjuran Konvensyen ini bukan sekadar menyaksikan pencapaian luar biasa dalam seni tulis, tetapi juga mencerminkan komitmen Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam mempromosikan warisan budaya negara melalui inisiatif yang diperkenalkan iaitu ‘Ini Warisan Kita’.
“Seni Kaligrafi Huichun memegang peranan penting sebagai medium yang mencerminkan kepelbagaian budaya unik di Malaysia. Ia bukan sekadar seni tulisan visual, tetapi ekspresi seni yang menggambarkan sejarah, kepelbagaian, dan keindahan Malaysia,”
Kata YB Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Seni Kaligrafi Huichun berasal dari perkataan Mandarin “Hui Chun,” menjadi warisan budaya yang berharga dengan nilai-nilai estetika dan kebudayaan yang mendalam di Malaysia. Transformasinya yang diwarnai oleh pelbagai elemen budaya Malaysia menjadikan Kaligrafi Huichun sebagai simbol kepelbagaian budaya negara. Dengan memahami dan mengapresiasi seni ini, ia dapat memupuk kebanggaan terhadap warisan budaya yang kaya dan mampu memperkukuh ikatan kepelbagaian masyarakat di negara ini.YB Menteri Perpaduan Negara menyatakan bahawa sudah tiba masanya, seni kaligrafi didukung sebagai “unity builder” dalam mengeratkan hubungan silaturahim, kebersamaan, dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia. “Kementerian akan mempertimbangkan untuk mengadakan Festival Kaligrafi Uniti, melibatkan tulisan Jawi, Cina, dan Tamil untuk memupuk kepelbagaian dalam masyarakat.
Saya berbesar hati mencadangkan agar 14 Ogos setiap tahun yang merupakan World Calligraphy Day diangkat sebagai “Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional.” Harapan saya, ia disambut di seluruh negara dan di institusi pendidikan untuk menghayati seni kaligrafi tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama,” ujar beliau.1/2Semoga program seumpama ini menjadi mercu tanda kejayaan dalam usaha memelihara dan memartabatkan kaligrafi Huichun sebagai satu lagi warisan berharga negara kita. Masyarakat digesa agar sama-sama meneruskan usaha ini untuk mengekalkan tradisi kaligrafi disamping menggalakkan generasi muda untuk meminati seni tulisan yang begitu berharga dan bermakna.
YB Menteri Perpaduan Negara turut menyatakan harapan agar semangat inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ akan menjadi keutamaan dalam membentuk perpaduan dan merayakan kepelbagaian, sekali gus mencapai visi “Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian.”Sebagai rekod, pada tahun 2023 KPN telah melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah inisiatif ‘Ini Warisan Kita’, termasuk pameran etnik minoriti, program bersama masyarakat Chetti dan Siam, debat perpaduan, bicara bahasa kolokial, Foodunites, dan pengajaran bahasa Siam.