Meritus University Buka Lembaran Gemilang — Dari Kapten Kapal ke Kampus Serantau, Visi Tan Sri Halim Direalisasi

KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 — Meritus University meraikan Konvokesyen 2025 di kampus baharunya di Chan Sow Lin, menandakan satu perjalanan luar biasa daripada visi seorang kapten kapal kepada sebuah institusi pendidikan bertaraf serantau. Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh simbolik itu menggambarkan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju maritim dan penerbangan di Asia, selaras dengan perubahan landskap ekonomi global yang semakin menuntut tenaga mahir berkemahiran tinggi.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengasas Meritus University, Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, menegaskan bahawa maritim bukan sekadar industri—ia adalah denyut nadi negara.
Lebih 90 peratus dagangan Malaysia bergerak melalui laut, namun kekurangan tenaga profesional masih menjadi cabaran yang perlu ditangani. Dengan pengalaman 11 tahun sebagai pelaut dan bekas kapten kapal, beliau menekankan bahawa pendekatan pembelajaran di Meritus University dibina berdasarkan keperluan sebenar industri, bukan sekadar teori atau silibus konvensional.
“Saya mengajar sendiri kerana saya tahu apa yang industri perlukan. Pelajar kami belajar cara dunia sebenar berfungsi, bukan sekadar teori,” katanya.
Pendekatan pengajaran secara one-on-one menjadi kekuatan utama universiti ini, memastikan setiap pelajar benar-benar menguasai kemahiran sebelum terjun ke dunia pekerjaan.
Hasilnya, ramai pelajar ditawarkan pekerjaan ketika menjalani latihan industri kerana kurikulum yang direka secara eksklusif mengikut kehendak syarikat antarabangsa.
Konvokesyen tahun ini menyaksikan penganugerahan kepada 19 graduan Bachelor of Science (Hons) Maritime Business, tiga graduan Bachelor of Science (Hons) Finance (Investment Strategy), seorang graduan MBA, 37 graduan Diploma in Aviation (Pilot Training), 96 kadet juruterbang HM Aerospace yang menerima Commercial Pilot Licence, Instrument Rating serta Frozen ATPL, selain seorang graduan Diploma in Hotel Management.
Sejak 2004, kerjasama Meritus University bersama HM Aerospace telah melahirkan lebih 2,500 juruterbang komersial termasuk 92 juruterbang wanita, yang kini berkhidmat dengan syarikat penerbangan dunia seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Lion Air, China Airlines, Emirates, Etihad, Singapore Airlines dan banyak lagi. Program latihan merangkumi 900 jam teori, 200 jam penerbangan, penggunaan 26 pesawat latihan Diamond DA40 & DA42 serta simulator FNPT II berteknologi tinggi.
Bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang pendidikan berkualiti, Meritus University menyediakan laluan fleksibel untuk pelbagai latar akademik.
Lepasan SPM dengan lima kredit boleh memasuki program asasi selama setahun sebelum ke peringkat ijazah, manakala lepasan STPM dan diploma diberi akses terus. Pembiayaan PTPTN dan bantuan untuk pelajar B40 turut ditawarkan.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, universiti ini bakal memperluas penawaran kepada program undang-undang maritim, insurans maritim serta keselamatan laut, menghasilkan graduan yang bersedia menyertai agensi seperti TLDM, APMM dan syarikat pelabuhan antarabangsa.
Dalam satu momen penuh makna, Tan Sri Halim berkongsi kisah peribadi mengenai bangunan kampus baharu ini—bangunan yang suatu ketika dahulu dimiliki Utusan Melayu dan menjadi tempat beliau menumpang tidur ketika zaman mudanya.
“Ia mengingatkan saya bahawa usaha, ilmu dan izin Allah mampu mengubah kehidupan seseorang,” katanya. Kisah itu menjadi simbol perjalanan panjang seorang anak kapal yang kini membina laluan pendidikan untuk ribuan generasi masa depan.
Beliau menegaskan bahawa matlamat Meritus University bukan hanya melahirkan graduan untuk bekerja, tetapi membina individu yang berintegriti, berkemahiran dan berwawasan.
“Kita mahu anak muda menyara diri, membantu keluarga, tetapi lebih daripada itu — mereka mesti membantu negara,” ujarnya.
Dengan perasmian kampus baharu, permintaan global dalam sektor maritim dan penerbangan serta pengiktirafan industri yang berterusan, Meritus University terus membuka lembaran gemilang sebagai institusi pendidikan yang membentuk tenaga profesional masa depan Malaysia dan rantau ini.





