MyCar Dedah Kes Salah Guna Sistem, Laporan Polis Dibuat

  • February 14, 2025
  • 2 min read
MyCar Dedah Kes Salah Guna Sistem, Laporan Polis Dibuat

Petaling Jaya, 13 Februari 2025 – Syarikat perkhidmatan e-hailing MyCar telah membuat laporan polis terhadap seorang individu yang dipercayai menyalahgunakan sistem tempahan mereka.

Menurut laporan polis yang difailkan, kejadian ini melibatkan seorang individu yang menggunakan akses tanpa kebenaran ke dalam sistem MySKAP, sistem yang mengawal selia lesen kenderaan dan pemandu di Malaysia.

Difahamkan, individu tersebut telah mengeksploitasi kelemahan sistem bagi mendapatkan akses kepada maklumat pemandu dan kenderaan tanpa kelulusan rasmi.

CEO MyCar, Datuk Noor Sheena, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara ini berulang dan menjejaskan operasi syarikat.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan sistem kami.

Individu yang terlibat dipercayai telah melakukan pelanggaran serius terhadap sistem tempahan MyCar, menyebabkan kerugian sekitar RM 350,000.

Kami telah menyerahkan segala bukti kepada pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya lagi, individu terbabit juga dipercayai mengelak daripada memasukkan cap jari dalam sistem MySKAP, yang merupakan prosedur penting dalam proses pengesahan identiti pemandu dan kenderaan.

Pihak syarikat turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan.

Dalam masa yang sama, mereka menasihati semua pengguna dan pemandu untuk sentiasa berhati-hati serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap laporan yang telah dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *