Nafi dakwaan tular terlibat kes larangan azan di Pulau Pinang – Parti Gerakan
GERAKAN menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan Alex Low yang terlibat dengan kes larangan azan di Pulau Pinang adalah ahli GERAKAN.
Presiden Nasional GERAKAN, YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai sudah menyemak dan sah individu itu bukan ahli GERAKAN tetapi penyokong Pakatan Harapan.
“Bukti yang kami dapat daripada akaun Facebook Alex Low. Memang dia penyokong tegar Pakatan Harapan, DAP dan Anwar.
“Saya merasakan ini semua fitnah DAP untuk menjadi hero kepada orang Melayu. Ini taktik pancing undi orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Pulau Pinang berkata, mungkin DAP atau Pakatan Harapan di Pulau Pinang sudah mula goyang dengan sokongan yang luar biasa rakyat terhadap Perikatan Nasional.
Pada masa yang sama, Dominic turut mengulas mengenai isu tiada lagi subsidi eletrik jika penggunaan yang amat tinggi.
Menurut beliau, Kerajaan Campuran mahu rakyat menjimatkan penggunaan elektrik tetapi kenapa tidak jimatkan wang sehingga mengadakan Rumah Terbuka Madani di enam negeri.
“Ini bukan masa yang sesuai dan tidak wajar buat pengumuman dalam keadaan Malaysia mengalami cuaca yang panas teruk ketika ini. Jagalah hati rakyat.
“Kalau betul nak jimat duit Kerajaan, kenapa perlu buat rumah terbuka sampai enam negeri.Adakah sebab agenda politik dibolehkan untuk tidak berjimat?,” tegasnya.