PENDAKI MALAYSIA RJ NAGARAJAN BERJAYA MENAWAN PUNCAK EVEREST DAN MELENGKAPKAN PENDAKIAN MENAWAN TUJUH PUNCAK TERTINGGI DI TUJUH BENUA (WORLD 7 SUMMITS)

  • May 22, 2023
  • 2 min read
PENDAKI MALAYSIA RJ NAGARAJAN BERJAYA MENAWAN PUNCAK EVEREST DAN MELENGKAPKAN PENDAKIAN MENAWAN TUJUH PUNCAK TERTINGGI DI TUJUH BENUA (WORLD 7 SUMMITS)

Jalur Gemilang berkibar lagi di Puncak Gunung Everest tepat jam 10.30 pagi waktu tempatan (12.45pm waktu Malaysia), 22 Mei 2023!!! Tahniah buat seorang lagi anak Malaysia, RJ Nagarajan, 59 tahun, yang berjaya mendaki puncak tertinggi dunia Gunung Everest pada ketinggian 8850 meter dari aras laut tepat jam 10.30 pagi ini sekaligus menjadi rakyat Malaysia ke-4 berjaya mendaki semua 7 puncak tertinggi di 7 benua yang di kenali sebagai “World 7 Summit”. World 7 Summit merupakan antara pencapaian tertinggi di dunia dalam dunia pendakian. Sebelum ini, beliau yang lebih mesra dipanggil RJ ataupun Rajan, telah berjaya mendaki Gunung Aconcagua di Argentina pada ketinggian 6961 meter iaitu puncak tertinggi di benua Amerika Selatan, Gunung Denali di Amerika Syarikat pada ketinggian 6194 meter iaitu puncak tertinggi di benua Amerika Utara, Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada ketinggian 5895 meter iaitu puncak tertinggi di benua Afrika, Gunung Elbrus di Rusia pada ketinggian 5642 meter iaitu puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Vinson pada ketinggian 4892 meter yang merupakan puncak tertinggi di benua Antartika, Gunung Kosciuszko di Australia pada ketinggian 2228 meter yang merupakan puncak tertinggi di benua Australia dan yang terkini Gunung Everest di Nepal pada ketinggian 8848 meter tertinggi yang merupakan puncak tertinggi di benua Asia dan dunia pada pagi ini.

Malah RJ Nagarajan juga telah melengkapkan dua lagi gunung iaitu Gunung Mont Blanc, di Perancis pada ketinggian 4810 meter dan Puncak Jaya di Irian Jaya pada ketinggian 4884 meter yang masing-masing mempunyai versi berbeza untuk benua Eropah dan Australia. Beliau mengambil masa 7 tahun sejak tahun 2016 untuk melengkapkan semua pendakian tersebut. Menurut Rajan yang juga merupakan seorang pendaki daripada pasukan ZEROTO8000, pendakian beliau adalah untuk menyampaikan mesej semangat Malaysia berdikari dalam mengejar impian dan mencipta kejayaan.

Menurut beliau, setiap rakyat Malaysia harus berusaha berdikari dalam mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang. Beliau sendiri melakukan semua pendakian ini dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri dan kini terbukti beliau telah berjaya dan semangat inilah yang sedang diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia oleh ZEROTO8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki oleh mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *